NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Rumah rosak 20 peratus selamat untuk dihuni - KP Bomba
Nor Hisham berkata, kebanyakan rumah dalam kategori selamat dihuni itu hanya mengalami kerosakan kecil seperti cermin tingkap pecah selain kesan bahang kecil. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hanya kediaman yang mengalami kerosakan kurang daripada 20 peratus dalam insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya akan dibenarkan untuk dihuni kembali bagi menjamin keselamatan penghuninya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata berdasarkan pemeriksaan dilakukan, kebanyakan rumah diletakkan dalam kategori selamat dihuni itu hanya mengalami kerosakan kecil seperti cermin tingkap pecah selain kesan bahang kecil pada bumbung dan siling.
Beliau berkata kebanyakan rumah itu juga terletak lebih 150 meter dari lokasi kejadian.
"Melalui persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, bagi kediaman dengan kerosakan kecil atau tiada kerosakan, kita benarkan penghuni mereka untuk masuk.
"Yang membabitkan kerosakan besar, tidak sesuai untuk masuk kecuali selepas penilaian lanjut terhadap keutuhan struktur dan pembaikan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Penilaian keselamatan itu dilakukan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta kontraktor pendawaian elektrik.
Beliau berkata pemeriksaan secara kebolehlihatan terhadap unit rumah terjejas melibatkan permukaan struktur bangunan dinding, lantai, bumbung dan rangka bangunan selain terhadap sistem pendawaian elektrik.
Mengulas lanjut sebagai agensi sokongan, Nor Hisham berkata setakat ini tiada keperluan untuk mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) baharu untuk kategori rumah berkenaan dan sijil itu diperlukan sekiranya terdapat perubahan besar struktur rumah seperti bangunan baharu.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata 85 rumah di Taman Harmoni disahkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai malam semalam serta bekalan air dan elektrik telah disambungkan ke rumah terbabit.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Secara keseluruhannya insiden itu melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga dengan 87 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah proses pemeriksaan dilakukan.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
-- BERNAMA