NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Saifuddin kesal, tuan rumah tetap kekal deposit tinggi
Saifuddin berkata dalam keadaan mangsa masih terkesan dengan musibah yang melanda termasuk kehilangan tempat tinggal, syarat pembayaran deposit yang tinggi menyulitkan lagi keadaan. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Di sebalik usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan segera kepada mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini namun ada dalam kalangan mangsa yang berdepan kesulitan apabila tuan rumah tetap mengekalkan urusan sewa seperti biasa, termasuk mengenakan bayaran deposit dua hingga tiga bulan.
Ringkasan AI
- Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights menghadapi kesulitan kerana tuan rumah masih mengenakan bayaran deposit tinggi walaupun mereka kehilangan tempat tinggal.
- Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah membantu mangsa dengan penggantian dokumen penting yang musnah akibat insiden tersebut.
- Kerajaan negeri Selangor bersetuju menampung kos sewaan sebanyak RM7.356 juta dan memberikan RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama enam bulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, dalam keadaan mereka masih terkesan dengan musibah yang melanda termasuk kehilangan tempat tinggal, syarat pembayaran deposit yang tinggi menyulitkan lagi keadaan.
"Sebahagian besar masih lagi berusaha mendapatkan (rumah) dengan sebahagiannya apabila jumpa tempat, mereka berurusan dengan tuan rumah, tuan rumah pula mengenakan deposit sehingga dua...tiga bulan.
"Ketika mereka ditimpa ujian, kerajaan menawarkan bantuan, namun ada tuan rumah yang masih mengenakan urusan biasa... itu menyulitkan keadaan mereka (mangsa)," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa tragedi kebakaran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 443 urusan penggantian dokumen mangsa.
Katanya, ia meliputi 172 urusan penggantian kad pengenalan, sijil lahir (249), sijil perkahwinan (7), sijil kematian (1) dan dokumen lain yang musnah akibat insiden tersebut.
Setakat ini, beliau memberitahu, 361 mangsa dari 95 keluarga masih berlindung di PPS itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan, kerajaan negeri bersetuju menampung kos sewaan kepada pemilik dan penyewa yang terjejas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.356 juta.
Kerajaan negeri akan memberikan sebanyak RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.
#kebakaran paip gas
#Putra Heights
#mangsa tragedi
#Saifuddin Nasution
#deposit tinggi
#sewa rumah
#terkini