NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Struktur rumah disahkan selamat, 301 keluarga dibenarkan pulang - Polis
Hussein Omar bercakap pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini pada Khamis. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Sebanyak 301 daripada 437 buah rumah yang terjejas dalam tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini disahkan selamat dari segi struktur dan dibenarkan untuk didiami semula.
Perkara itu dimaklumkan susulan pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap rumah-rumah yang terkesan dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebagai langkah tambahan untuk memastikan keselamatan struktur rumah, pihak JKR turut menggunakan kaedah lebih maju iaitu Ultrasonic Pulse Velocity Test sebagai sebahagian daripada proses Non-Destructive Test (NDT).
“Kaedah ini digunakan untuk mengesahkan keutuhan struktur rumah-rumah yang disahkan selamat, dan hasil penilaian adalah konsisten dengan pemeriksaan awal terhadap 301 buah rumah yang diumumkan selamat," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hussein berkata daripada 301 rumah yang telah dibenarkan untuk diduduki semula, seramai 190 penghuni sudah kembali ke kediaman masing-masing bagi meneruskan kerja-kerja baik pulih dan menetap seperti biasa.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kebimbangan penduduk yang meminta JBPM untuk mengeluarkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi rumah mereka, beliau memberitahu, setakat ini pihaknya berpendapat tidak ada keperluan.
Sebaliknya kata beliau, Ultrasonic Pulse Velocity Test yang dilakukan untuk memastikan keselamatan struktur rumah sudah memadai.
Namun kata beliau, pasukan berkaitan akan membuka kaunter secara 24 jam bagi membolehkan penduduk menyalurkan sebarang aduan mengenai sebarang kerosakan.
Selain itu, tambah beliau, keadaan keselamatan di kawasan bencana itu juga terkawal, ddengan 124 anggota polis ditempatkan bagi mengawal perimeter selama 24 jam sehari.
Langkah itu katanya diambil bagi memastikan keselamatan harta benda serta menjamin ketenteraman awam di kawasan terjejas.