NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Sukarelawan disaran waspada semasa kerja pembersihan
Mohamad Nizam berkata, sukarelawan diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyentuh sebarang objek atau struktur binaan di lokasi kerana dibimbangi rapuh dan tidak stabil. - Gambar fail/Bernama
SUBANG JAYA: Sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada Sabtu diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika menjalankan tugas.
Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, sukarelawan diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyentuh sebarang objek atau struktur binaan di lokasi kerana dibimbangi rapuh dan tidak stabil.
"Itulah cabaran utama yang kami hadapi kerana kami sendiri tidak pasti sama ada kawasan itu benar-benar selamat atau tidak.
“Namun, kami berharap mana-mana kawasan yang dibenarkan untuk dimasuki, telah diperiksa dan dinilai oleh pihak polis.
“Kami percaya, jika kebenaran diberikan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya, ia bermakna kawasan tersebut memang betul-betul selamat,” katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, sukarelawan tidak perlu bimbang kerana akan ditemani wakil agensi yang sentiasa bersedia menangani sebarang insiden tidak diingini.
Ujarnya, kerja-kerja akan ditumpukan kepada lokaliti terjejas memandangkan lokasi kejadian atau 'ground zero' tidak boleh dimasuki.