NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Sultan Selangor titah Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dibatalkan
Sultan Selangor amat prihatin dan menghormati mangsa-mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden di Putra Heights. - FOTO: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan esok, 6 April.
Ringkasan AI
- Sultan Selangor menitahkan pembatalan majlis yang dijadualkan pada 6 April 2025, dan Perdana Menteri bersetuju dengan keputusan ini.
- Persiapan yang telah dibuat, terutamanya makanan, akan disalurkan kepada Pusat Penempatan Sementara (PPS), petugas keselamatan, anggota bomba, sukarelawan, NGO, rumah anak-anak yatim, dan sekolah-sekolah berdekatan lokasi kejadian.
- Sultan Selangor menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa insiden di Putra Heights dan berharap makanan yang disalurkan dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka.
Menerusi kenyataan media yang dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office, titah Sultan Selangor ini juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga bersetuju dengan titah pembatalan oleh baginda.
‘’Baginda amat prihatin dan menghormati mangsa-mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden di Putra Heights.
‘’Baginda juga menitahkan agar persiapan yang telah dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada Pusat Penempatan Sementara (PPS), petugas keselamatan, anggota bomba, para sukarelawan dan NGO, rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah yang terletak berdekatan lokasi kejadian,’’ kata kenyataan itu.
Pada masa sama, baginda menyarankan agar semua mangsa dan petugas diraikan dengan jamuan hari raya di PPS daripada makanan yang disalurkan ini.
Baginda turut berharap ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan para petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka.
Sultan Sharafuddin juga mendoakan agar urusan semua pihak terlibat dipermudahkan dan semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.