[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: Tuduhan Kerajaan Selangor sembunyi maklumat tidak benar - Exco

Khalis Khadir 08/04/2025 | 08:20 MYT
Izham (tengah) bercakap pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, hari ini. -Bernama
SUBANG JAYA: Semua kerja-kerja berkaitan projek paip gas dikaitkan dengan insiden kebakaran paip gas di Putra Height mendapat permit sah daripada pihak berkuasa berkaitan.

Ringkasan AI
  • Semua kerja berkaitan projek paip gas di Putra Heights mendapat permit sah daripada pihak berkuasa dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
  • Siasatan telus sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar insiden kebakaran paip gas, dengan kawasan tersebut telah disekat dan selamat untuk kajian lanjut.
  • Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor meminta orang awam bersabar menunggu hasil siasatan yang konklusif, yang akan diumumkan apabila sudah diperoleh.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menegaskan, pihaknya tidak menyembunyikan sebarang maklumat daripada orang awam.
Katanya, segala pelaksanaan kerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan diawasi oleh pihak berwajib termasuk kontraktor dilantik.
“Daripada segi permit, memang lulus. Tidak timbul isu dimainkan di media sosial kononnya kerja ini dibuat secara haram atau langgar SOP. Semuanya diluluskan dan dibuat dengan baik,” katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, beliau menjelaskan, siasatan secara telus sedang giat dijalankan.
“Kita tidak ada apa mahu sembunyi. Dalam isu keselamatan, semua ini memang akan makan masa kerana ia melibatkan pelbagai kepakaran seperti geoteknikal saluran paip gas.
“Kita sedang meneliti secara terperinci untuk mengetahui punca sebenar insiden ini berlaku. Yang penting sekarang, kawasan itu telah disekat dan selamat untuk kerja-kerja kajian lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman sebelum ini menunjukkan, siasatan insiden berisiko memang mengambil masa kerana ia melibatkan banyak pihak dan aspek teknikal.
“Saya minta semua bersabar menunggu hasil siasatan yang konklusif nanti. Kita akan umumkan bila sudah dapat hasil yang sah,” ujarnya.
#kebakaran paip gas #projek paip gas #Putra Heights #izham hashim #dapat kelulusan