Skip to main content

Malaysia

Kebakaran hutan di Desaru-Pengerang: 60 peratus kawasan masih terbakar

Kebakaran hutan di Desaru-Pengerang: 60 peratus kawasan masih terbakar
Kebakaran melibatkan kawasan hutan serta belukar kering, dengan api marak dipengaruhi tiupan angin kuat yang berpotensi memperluas kebakaran. - Foto JBPM

KOTA TINGGI: Kebakaran hutan seluas kira-kira 150 hektar di kawasan Lebuhraya Desaru-Pengerang sejak Sabtu lepas masih berlanjutan, dengan 60 peratus kawasan dilaporkan masih terbakar setakat 6.30 petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam, 21 Mac, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai digerakkan ke lokasi sejauh enam kilometer.

Advertisement

Agensi itu memaklumkan kebakaran melibatkan kawasan hutan serta belukar kering, dengan api marak dipengaruhi tiupan angin kuat yang berpotensi memperluas kebakaran.

“Setakat 6.30 petang ini, sebanyak 60 hektar atau 40 peratus kawasan telah dipadamkan, manakala baki 90 hektar atau 60 peratus masih terbakar,” menurut kenyataan itu lewat malam tadi.

Operasi pemadaman di Bahagian A oleh BBP Punggai dijalankan menggunakan kaedah serangan terus dengan satu aliran hos sepanjang 700 kaki, dibantu dua peralatan ‘breaching’, tiga nozeL serta pam Godiva GP10/10 dengan sumber air terbuka berhampiran.

Sebanyak tujuh anggota terlibat dalam operasi itu dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) digunakan.

Sementara itu, BBP Sungai Rengit tidak meneruskan operasi di Bahagian B dan kekal siap siaga di balai bagi tujuan “fire cover” di kawasan jagaan BBP Sungai Rengit dan BBP Punggai.

Keadaan di lokasi dilaporkan mencabar dengan asap tebal dan tinggi sehingga menjejaskan penglihatan di laluan Lebuhraya Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove.

Sehubungan itu, bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Bayu Damai digerakkan bagi menutup laluan terlibat dan mengawal pergerakan kenderaan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Tiada mangsa dilaporkan setakat ini, manakala operasi pemadaman masih diteruskan. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video