Skip to main content

Malaysia

Kebakaran hutan: Malaysia pantau perkembangan tindakan perundangan Indonesia - Arthur

Arthur bercakap pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu, di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI
Arthur bercakap pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu, di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia akan terus memantau tindakan perundangan Indonesia terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di republik itu.
  • Setakat ini, tiada bukti kukuh menunjukkan syarikat Malaysia menjadi punca atau memulakan kebakaran berkenaan.
  • Kajian dan risikan rasmi mendapati tiada penglibatan syarikat Malaysia dalam kejadian kebakaran di Indonesia setakat ini.

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus memantau perkembangan tindakan perundangan yang dimulakan pihak berkuasa Indonesia terhadap beberapa syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah di republik itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata setakat ini belum ada bukti kukuh yang menunjukkan syarikat Malaysia menjadi punca atau memulakan kebakaran berkenaan.

Beliau berkata hasil kajian dan risikan setakat ini juga tidak menunjukkan penglibatan syarikat Malaysia dalam kejadian itu.

“Setakat ini, kita belum mengetahui sekiranya ada syarikat Malaysia yang terlibat. Namun, berdasarkan kenyataan rasmi Menteri Perladangan dan Komoditi, kajian dan risikan kita menunjukkan tiada syarikat Malaysia yang terlibat.

“Bagaimanapun, kemungkinan kebakaran yang berlaku di luar kawasan sesebuah syarikat merebak ke kawasan syarikat itu, dan apabila keadaan tersebut berlaku, syarikat berkenaan mengambil tindakan untuk memadamkan api.

“Namun, jika dikatakan kebakaran itu berpunca atau dimulakan oleh syarikat Malaysia, setakat ini belum ada bukti yang kukuh,” katanya pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada Malaysia akan mengambil tindakan perundangan seperti mana dilakukan Singapura, terhadap syarikat-syarikat yang disyaki terlibat dengan pembakaran di Indonesia.

Pada 16 Oktober lalu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tiada syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia.

Beliau berkata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, turut diminta mengadakan sesi libat urus dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia.

Mengulas lanjut, Arthur berkata Malaysia juga telah beberapa kali berhubung dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia bagi menyampaikan kebimbangan berhubung isu kebakaran hutan dan tanah di republik itu.

Katanya, Malaysia secara rasmi turut menawarkan bantuan dalam bentuk aset dan tenaga kerja bagi membantu menangani kebakaran berkenaan.

“Tawaran itu telah dibawa ke peringkat Perdana Menteri, yang turut berhubung dengan Presiden Indonesia bagi menyampaikan tawaran bantuan sama.

“Tawaran itu sekali lagi disampaikan secara lisan ketika lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Indonesia beberapa minggu lepas,” ujarnya lagi.

Beliau berkata Indonesia telah bersetuju menerima tawaran berkenaan dan Malaysia kini sedang menyelaraskan bantuan itu, sementara menunggu kebenaran untuk memasuki negara berkenaan sekiranya diperlukan.

 

Must Watch Video

Advertisement