[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kebakaran kilang bongkar aktiviti makmal proses, edar dadah

Bernama 24/09/2025 | 10:20 MYT
Hussein Omar (depan, tiga, kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, hari ini. - Bernama
KULAI: Kegiatan sindiket memproses dan mengedar dadah yang berselindung di sebalik kilang barangan berteknologi terbongkar selepas premis terbabit di Taman Perindustrian Senai, di sini, terbakar pada 14 Sept lepas.


Ringkasan AI
  • Kebakaran di sebuah kilang di Taman Perindustrian Senai pada 14 September membawa kepada penemuan makmal dadah yang memproses Erimin 5, dengan rampasan keseluruhan berjumlah 4.03 tan metrik bernilai RM17.77 juta terbesar setakat tahun ini.
  • Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai transporter dan menyerbu kilang kedua di Desa Idaman, Senai, yang menyimpan bahan kimia untuk memproses pelbagai dadah termasuk methamphetamine, ketamin dan prekursor.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak Februari dan memproses dadah secara komersial dengan kapasiti sehingga 100,000 tablet Erimin 5 sekali pengeluaran; siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga suspek utama sedang dikesan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan berkaitan kejadian pada 4.35 petang.

Beliau berkata sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Senai yang berada di lokasi kebakaran kemudian mengesyaki kilang itu dijadikan tempat memproses dadah.

"Susulan itu, pihak JSJN Bukit Aman bersama-sama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan pemeriksaan lanjut lalu mendapati kilang terbabit dijadikan makmal memproses dadah jenis Erimin 5.

"Polis menemukan satu dulang besi berserta 14 bekas plastik berisi 75 kilogram (kg) serbuk disyaki dadah jenis Erimin 5 dan satu kotak bersama tiga bekas plastik berisi pil Erimin 5 (24.69kg).

"Turut dijumpai, tiga dulang besi mengandungi 16 plastik bersama dua kotak serbuk bahan kimia (79.01kg), 11 tong berisi cecair bahan kimia (1.8 tan metrik) serta pelbagai peralatan memproses dadah," katanya pada sidang media di IPD Kulai di sini hari ini.

Hussein berkata susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di sekitar Seri Alam dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dipercayai "transporter" untuk menerima dan menghantar bungkusan dalam bentuk bongkah kayu ke kilang.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut terhadap lelaki itu, polis menyerbu sebuah kilang di sekitar Desa Idaman, Senai, kira-kira satu kilometer dari lokasi kilang terbakar yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan bahan kimia untuk memproses pelbagai dadah.

"Polis menemukan pelbagai bahan kimia antaranya 10 botol disyaki berisi cecair methamphetamine seberat 250kg, satu plastik lut sinar berisi ketamin (20kg) serta serbuk prekursor seberat 1.7 tan metrik," katanya.

Keseluruhan dadah dirampas, katanya seberat 4.03 tan metrik dengan nilai pasaran RM17.77 juta manakala rampasan berkenaan adalah terbesar setakat tahun ini.

Hussein berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan tiga suspek disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

"Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Februari lepas dan siasatan mendapati dua kilang itu disewa sejak dua tahun lepas. Dadah itu diproses pada skala komersial dengan mesin berkeupayaan menghasilkan hingga 100,000 tablet Erimin 5 sekali pengeluaran," katanya.

-- BERNAMA


#Senai #kilang terbakar #makmal dadah #Hussein Omar Khan