NATIONAL
Kebakaran paip gas: Api menjulang tinggi merebak ke beberapa rumah berdekatan - Bomba

Gambar yang dirakamkan dari jauh oleh wartawan Astro AWANI, Farhan Hakimi menunjukkan api marak menjulang tinggi akibat kebocoran pada saluran gas di stesen minyak Petronas Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Puchong
KUALA LUMPUR: Kebakaran saluran paip gas di stesen minyak Petronas Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Puchong, dekat sini, pada pagi Selasa, turut merebak ke beberapa buah rumah berhampiran susulan api yang menjulang tinggi.
Menurut Pengarah JPBM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, seramai tujuh mangsa termasuk dua warga emas telah diselamatkan.
"Kebakaran berlaku di kawasan perumahan awam dengan saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter terbakar.
"Api marak menjulang tinggi akibat kebocoran pada saluran gas tersebut. Pihak bomba dengan bantuan agensi lain turut melakukan pemindahan penduduk dari kawasan sekitar bagi memastikan keselamatan orang awam."Api yang masih belum dapat dikawal itu telah merebak ke beberapa buah rumah, dan setakat jam 10 pagi, anggota bomba berjaya menyelamatkan tujuh mangsa, termasuk dua warga Malaysia.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan mangsa dan tahap kemerebakan api masih dalam siasatan, " katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Wan Md Razali berkata, operasi pemadaman melibatkan 78 anggota dan pelbagai aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara, Damansara, KLIA, dan Serdang.
"Pihak Petronas telah menutup injap pada saluran gas yang terbakar, namun jarak injap tersebut masih belum dapat dipastikan. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
" Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan kejadian bagi mengelakkan risiko keselamatan.
"Laporan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami