NATIONAL
Kebakaran paip gas di Putra Heights: Nilai kemanusiaan mengatasi segala perbezaan
Seorang lelaki Islam dipercayai petugas sukarelawan menunaikan solat di ruang yang disediakan di Kuil Sri Maha Kaliamman, Putra Heights. - Astro AWANI
SUBANG JAYA: Di sebalik tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, terserlah ‘nyalaan cahaya’ semangat perpaduan yang tidak pernah padam.
Tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, orang ramai berganding bahu membantu mangsa yang terjejas, membuktikan bahawa perpaduan sejati bukan sekadar slogan, tetapi nadi kekuatan negara.
Dalam suasana di mana isu perkauman sering dijadikan modal untuk memecah-belahkan masyarakat, tragedi ini menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia tetap teguh bersatu.
Ketika penulis sedang membuat liputan di Kuil Sri Maha Kaliamman, Putra Heights (lokasi berhampiran kejadian kebakaran), penulis sempat menyaksikan satu detik yang cukup indah, seorang lelaki Islam dipercayai petugas sukarelawan menunaikan solat di ruang yang disediakan di kuil tersebut.
Menerusi perbualan dengan pihak pengurusan kuil, penulis dimaklumkan selain menyediakan makanan untuk orang ramai termasuk sukarelawan, kuil berkenaan turut menyediakan ruang solat kepada rakan-rakan Islam yang ingin menunaikan solat.
Jelas, ketika segelintir pihak terus meniup api perpecahan, rakyat di lapangan membuktikan bahawa keharmonian dan saling menghormati adalah realiti sebenar Malaysia.
Satu gambaran jelas bahawa Malaysia yang harmoni, di mana nilai kemanusiaan mengatasi segala perbezaan dan semangat kebersamaan mengikat kita sebagai satu bangsa.
Malah Masjid Putra Heights turut dijadikan sebagai salah satu daripada pusat pemindahan sementara (PPS), membuka pintunya kepada mangsa tanpa mengira latar belakang.
Dalam kehangatan krisis, tempat beribadat bukan sekadar tempat sembahyang, tetapi simbol menjadi kasih sayang dan perlindungan buat mereka yang memerlukan.