[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Kebakaran paip gas: Lima mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya

Bernama 01/04/2025 | 05:15 MYT
Lima mangsa kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, setakat ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Lima mangsa kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, setakat ini.
Bernama difahamkan, kesemua mangsa tiba di hospital berkenaan antara pukul 8 pagi hingga 9 pagi tadi.
Kesemua mereka mengalami pelbagai tahap kecederaan dan keadaan mangsa masih dalam pemantauan pasukan perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter, dengan api marak menjulang tinggi dan operasi pemindahan penduduk turut dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar.
Tinjauan Bernama mendapati, kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan ringan ditempatkan di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya untuk menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Setakat 11 pagi, sebanyak 30 orang menerima rawatan awal dan beberapa orang dihantar ke Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya untuk rawatan lanjut.
Kerajaan Selangor telah mengaktifkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa.
Selain masjid itu, Masjid Al-Falah USJ 9 di Subang Jaya turut menawarkan premisnya kepada individu atau keluarga yang terkesan yang memerlukan tempat untuk berehat serta berlindung sementara.
-- BERNAMA
#kebakaran paip gas #mangsa kebakaran #hospital putrajaya #Jalan Putra Harmoni Putra Heights