NATIONAL

Kebakaran paip gas Putra Heights: Kawah sedalam 32 kaki terbentuk - Polis

Bernama 02/04/2025 | 08:17 MYT
Keadaan di kawasan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang kini padam sepenuhnya ketika tinjauan tengah hari tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Masih terdapat kebakaran kecil di beberapa rumah yang terlibat dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya semalam.

Mengesahkan perkara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat yang memaklumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sudah menempatkan sebuah jentera dengan enam anggota bagi terus memantau sekiranya berlaku kebakaran lain bagi mengelakan api merebak ke kediaman lain.

Susulan daripada perkembangan itu juga, Wan Azlan berkata hanya penduduk di kawasan yang kurang terjejas dibenarkan masuk untuk mengambil barang keperluan dan dokumen penting dengan diiringi pasukan.

Sementara itu, beliau yang ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang turut memberi perkembangan terkini jumlah mangsa, yang mana sehingga kini menyaksikan 13 daripada 111 orang mangsa kini berada di zon merah.

Beliau berkata, baki 55 lagi mangsa menerima rawatan di zon kuning manakala 43 di zon hijau.

"Daripada 111 mangsa itu, 75 orang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Cyberjaya manakala 36 lagi mangsa dirawat di hospital lain, antaranya Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh," katanya.

Selain itu, Wan Azlan berkata seramai 529 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights, melibatkan 485 orang daripada 110 keluarga manakala 44 orang daripada lapan keluarga lagi berteduh di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Camelia).

Polis turut mengesahkan sebanyak 235 premis serta 399 buah kenderaan terjejas dalam kejadian itu, dengan telah menerima 59 laporan, antaranya berkaitan rumah dan kenderaan terjejas, kecederaan serta isu tanah.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengesahkan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas itu, telah mendapat kelulusan dan kebenaran yang sah sejak 2022.

Beliau berkata projek rumah kedai itu, yang sepatutnya dijadualkan siap pada Dis lepas, kini dalam fasa mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan semua kelulusan diperoleh mengikut peraturan ditetapkan, sekaligus menjawab dakwaan netizen di laman sosial yang mempertikaikan status projek berkenaan.

Polis akan memanggil kontraktor yang dipercayai menjalankan kerja-kerja projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, setelah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat setakat ini polis belum memanggil mana-mana kontraktor berkaitan insiden itu kerana proses pengesahan identiti dan penglibatan pihak terlibat masih dijalankan.

"Tindakan susulan akan diambil selepas siasatan lengkap termasuk merujuk kepada pihak berkuasa tempatan dan Petronas bagi menyemak sama ada permit kerja telah dikeluarkan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang Jaya, hari ini.

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran pa0da 8.10 pagi semalam berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB).

-- BERNAMA





#kebakaran paip gas #Putra Heights #kawah terbentuk #Polis Selangor #terkini