NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: KPT hulur bantuan RM2,000, sedia klinik bergerak
Anesee berkata, kementeriannya akan memberikan bantuan secara tunai yang akan dimasukkan terus dalam akaun mahasiswa yang terkesan. - Gambar Bernama
SUBANG JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif membantu mangsa terjejas insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Selasa dengan menyediakan pakar, klinik bergerak dan sumbangan RM2,000 kepada mahasiswa terlibat.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Anesee Ibrahim berkata, kementeriannya akan memberikan bantuan secara tunai yang akan dimasukkan terus dalam akaun mahasiswa yang terkesan.
“Kita akan memberikan bantuan secara tunai, di mana kita masukkan terus ke dalam akaun mereka dan dua orang yang ada di sini pun kita menunggu untuk mendapatkan maklumat terperinci akaun bank pelajar tersebut. Ini adalah sokongan untuk membantu dalam isu pengurusan bencana daripada pihak universiti awam.
"Kami juga menyediakan klinik bergerak menerusi Konsortium Hospital Universiti Awam (KHUAM) bagi memberi rawatan kecemasan, pemeriksaan kesihatan serta sokongan perubatan kepada mereka yang memerlukan perhatian segera,” katanya ketika meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini.
Dalam pada itu jelasnya, sesi kaunseling dan sokongan psikologi turut diatur oleh pakar kesihatan mental bagi membantu mangsa yang mengalami kebimbangan serta tekanan emosi akibat kejadian itu.
Pada masa sama ujarnya, sukarelawan daripada Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) turut digerakkan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar serta membantu mangsa dalam apa jua keperluan yang diperlukan.
Sebanyak empat mahasiswa setakat ini terjejas dalam insiden tersebut dengan dua daripada mereka berada PPS Masjid Putra Heights.