NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: Penghuni 115 kediaman dibenar pulang mulai hari ini

Keadaan beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat haba panas kesan daripada kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. - Foto BERNAMA
SUBANG JAYA: Penghuni di 115 kediaman yamg terjejas dalam kebakaran kebocoran gas di Putra Heights, di sini akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berfasa bermula hari ini.
Pegawai Dearah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata penduduk yang terlibat akan dibenarkan untuk tinggal di kediaman masing-masing selepas ia dikenal pasti selamat.
Katanya lagi, kerja-kerja pemeriksaan akhir melibatkan 115 rumah tersebut melibatkan tiga fasa, dengan seramai 41 keluarga pada fasa pertama.
“Bila mereka ada di rumah baru kita akan sambung bekalan elektrik.“Jika ada apa-apa masalah kerana ini melibatkan api dan bahang yang sangat besar.
“Kita takut kabel-kabel untuk rosak dan kita hantar dengan pasukan teknikal dan mereka akan tengok kalau ada masalah, kita tidak akan benarkan mereka duduk. Tetapi jika tiada masalah, kita akan benarkan dan dia boleh terus tinggal,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Huzunul menambah, kerja-kerja pemeriksaan akan bermula di lorong 1/3A dan 1/3B di Putra Harmoni.
Dalam masa sama, katanya pasukan teknikal seperti kontraktor elektrik akan masuk melakukan pemeriksaan.
“Walau bagaimanapun, pendawaian di dalam rumah itu, kita tidak tahu macam mana kerosakannya dan mereka perlu semak sendiri, jika keadaan selamat mereka boleh terus tinggal di rumah,” tambah beliau.
Ketika ini, mangsa-mangsa yang terjejas ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada pukul 8.10 pagi Selasa meninggalkan kesan ketara, membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki dengan keluasan kira-kira 70 x 80 kaki.
Kebakaran itu turut mengakibatkan api menjulang tinggi serta menghasilkan bahang panas dan debu yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda, termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami