NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: Polis terima 59 laporan
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat ketika sidang media berhubung situasi terkini di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Polis menerima 59 laporan susulan insiden letupan paip gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa.
Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan itu berkaitan rumah termasuk kenderaan yang terjejas akibat kejadian itu.
“Mangsa yang cedera turut membuat laporan polis," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada Rabu.
Menurut Wan Azlan, pihaknya akan menjaga keselamatan harta benda penduduk yang teribat dalam kejadian itu.
"Kita akan berada di lokasi kejadian ini dalam tempoh 24 jam bagi memantau serta memastikan tidak berlaku kes kecurian terhadap harta benda mangsa, setakat ini tiada laporan kes kecurian," katanya.
Mengulas lanjut, siasatan dan pemeriksaan di lokasi kebakaran saluran paip gas akan dilakukan 20 agensi, pada Rabu.
Antara agensi yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan berkenaan.
Pada Selasa pagi, media melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi.
Antara balai bantuan terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara dan BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.