[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Kebakaran paip gas Putra Heights: Raja Muda Selangor berkenan dengar taklimat, santuni penduduk

Faida Rahim 02/04/2025 | 07:45 MYT
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mendengar penerangan daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika mencemar duli hari ini ke kawasan lokasi kebakaran di Putra Heights. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke lokasi insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, di sini pada sekitar 2.28 petang hari ini.
Turut mengiringi Tengku Amir adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat ( JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.
Tengku Amir Shah juga diberikan taklimat di dalam Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sekitar 30 minit.
Tengku Amir kemudian menyantuni penduduk terjejas di bawah khemah khas disediakan berhadapan pos kawalan tempat kejadian (PKTK) selama 20 minit.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli hari ini ke kawasan lokasi kebakaran melibat kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, semalam.  - Foto Bernama
Selain itu, Tengku Amir turut berkenan menyantuni penduduk terjejas di pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights membabitkan 485 orang daripada 110 keluarga.
Tengku Amir berangkat tiba pada jam 3.10 petang diiringi Exco Pengurusan Bencana Negeri Selangor,
Muhammad Najwan Halimi dan Exco Perpaduan dan Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan 145 penduduk cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.
Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

#Raja Muda Selangor #kebakaran paip gas #Putra Heights #tengku amir shah