NATIONAL
Kebakaran paip gas tidak libat kematian setakat ini - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly dan Dr Azizah (kiri) melawat mangsa terlibat di wad Hospital Sultan Idris Shah, hari ini. -Foto ihsan PMO
SERDANG: Insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya tidak melibatkan sebarang kematian setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Ringkasan AI
- Tiada kematian dilaporkan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, dengan 104 mangsa masih dirawat di hospital.
- Semua mangsa berada dalam keadaan stabil, tidak ada yang memerlukan ventilator, tetapi ada yang mengalami melecur tahap dua dan tiga.
- Menteri Kesihatan dan isteri Perdana Menteri melawat mangsa di Hospital Sultan Idris Shah.
"Bagaimanapun ada mangsa mengalami keadaan melecur tahap dua dan tiga," katanya kepada pemberita di Hospital Sultan Idris Shah di sini, yang juga hospital tempat sebahagian mangsa menerima rawatan.
Terdahulu, Dzulkefly mengiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa terlibat di wad hospital berkenaan.
Dzulkefly berkata orang awam khususnya mereka yang tinggal berhampiran lokasi kejadian dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya mengalami gejala antaranya kesukaran bernafas, sakit kepala dan kesan melecur.
"Jangan sangsi dan segera hadir ke kemudahan kesihatan untuk menjalani pemeriksaan," katanya.
Selain itu, Dzulkefly berkata setakat ini tiada pesakit yang mengalami gejala kesesakan nafas di kemudahan kesihatan awam.
Beliau berkata pihaknya juga belum dapat mengenal pasti gas yang dihidu mangsa kebakaran itu dan memaklumkan perkara berkenaan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi catatan di Facebook memaklumkan kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.45 petang ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter itu berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami