MALAYSIA

Kebakaran Putra Heights: Bantuan sewa rumah sementara fasa empat diteruskan

Bernama 23/01/2026 | 07:35 MYT
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah seperti bandar mati ketika tinjauan fotoBernama di lokasi insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 7 April lalu. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 akan diteruskan kepada 67 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, di sini.


Ringkasan AI
  • Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat diteruskan kepada 67 Ketua Isi Rumah yang terjejas dalam kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
  • Kelulusan bantuan itu diperoleh hasil penilaian terkini serta lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
  • Kerajaan Negeri Selangor memastikan bantuan diteruskan secara bersasar, berhemah, dan berdasarkan penilaian lapangan bagi memastikan keadaan benar-benar pulih dan selamat.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata kelulusan bantuan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Bilangan 3/2026 yang bersidang pada 21 Jan lepas, hasil penilaian terkini serta lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Beliau berkata daripada keseluruhan 123 KIR yang menerima bantuan itu pada fasa ketiga sebelum ini, sebanyak 67 KIR disyorkan untuk meneruskan bantuan, manakala 56 KIR tidak diteruskan berdasarkan penilaian semasa serta pematuhan kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.

"Penilaian mendapati masih terdapat mangsa yang belum dapat kembali ke kediaman masing-masing disebabkan faktor keselamatan, status pembinaan rumah serta isu dokumentasi pemilikan tanah.

"Justeru, bagi fasa keempat, bantuan sewa rumah melibatkan 67 KIR terdiri daripada 65 KIR yang kediamannya masih dalam proses baik pulih, manakala dua KIR melibatkan kediaman yang belum dibina disebabkan isu dokumentasi pemilikan tanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Borhan berkata Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian secara bersasar, berhemah dan berasaskan penilaian lapangan sehingga keadaan benar-benar pulih dan selamat.

"Kerajaan Negeri Selangor juga memutuskan bantuan sewa tidak diteruskan kepada mangsa yang kediamannya telah siap dan selamat diduduki, termasuk kes yang melibatkan keengganan pemilik untuk membenarkan kerja baik pulih dilaksanakan," katanya.

Insiden kebakaran pada 1 April tahun lepas itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang akan menerima Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat?
    A: Sebanyak 67 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat.
  • Q: Mengapakah 56 KIR tidak menerima bantuan dalam fasa sebelumnya?
    A: 56 KIR tidak menerima bantuan dalam fasa sebelumnya disebabkan oleh penilaian semasa serta pematuhan kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.
  • Q: Apakah sebab utama bantuan sewa tidak diteruskan kepada beberapa mangsa?
    A: Bantuan sewa tidak diteruskan kepada mangsa yang kediamannya telah siap dan selamat diduduki, termasuk kes yang melibatkan keengganan pemilik untuk membenarkan kerja baik pulih dilaksanakan.



#kebakaran Putra Heights #Kerajaan Negeri Selangor #Ketua Isi Rumah #Borhan Aman Shah