[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kebakaran Putra Heights: Bekalan gas terjejas, bekalan elektrik masih stabil - Suruhanjaya Tenaga

Azyyati Ahmad 07/04/2025 | 03:00 MYT
Menurut ST, antara stesen jana kuasa yang terkesan susulan kebakaran Putra Heights minggu lalu adalah SJ Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya. Namun, bekalan elektrik ke seluruh negara kekal stabil.
PUTRAJAYA: Insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu menyebabkan gangguan terhadap bekalan gas di beberapa kawasan utama di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), meskipun bekalan gas terjejas, bekalan elektrik masih kekal stabil berikutan pelaksanaan langkah mitigasi yang berkesan oleh pelbagai pihak berkaitan.
"Letupan yang berlaku mengganggu operasi penyaluran gas asli melalui saluran paip utama yang menjadi nadi kepada bekalan tenaga di negara ini.
"Kawasan yang mengalami gangguan termasuk zon tengah seperti Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar, selain beberapa kawasan di utara Semenanjung.
"Beberapa pengguna yang terlibat telah menerima notis sekatan bekalan daripada pembekal masing-masing yang dijangka berlanjutan sehingga 20 April ini," kata ST dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan tenaga, ST bersama agensi seperti Grid System Operator, Gas Malaysia Berhad, TNB Fuel Sdn Bhd dan Petronas mengambil langkah segera bagi menilai tahap kerosakan dan merancang pelan pemulihan.
ST turut memaklumkan, bekalan gas masih tersedia dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberi kepada sektor kritikal seperti hospital, stesen jana kuasa elektrik dan sistem kawalan tekanan paip.
Antara stesen jana kuasa utama yang terkesan termasuk SJ Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya.
Namun begitu, bekalan elektrik ke seluruh negara kekal stabil, tambah ST.
ST menjelaskan, kestabilan ini dapat dicapai melalui pengoperasian optimum loji jana kuasa sedia ada, termasuk loji berasaskan arang batu, serta penggunaan bahan api alternatif seperti distillate fuel dan MFO.
Pemantauan rapi terhadap keperluan tenaga harian juga membolehkan pengurusan yang lebih berkesan dilaksanakan.
ST dalam kenyataan sama turut merancang sesi libat urus bersama pengguna yang terjejas dalam masa terdekat.
Suruhanjaya itu menyeru agar semua pihak, termasuk pengguna industri dan domestik, terus mengutamakan aspek keselamatan dan menggunakan tenaga secara berhemah sementara kerja-kerja pemulihan dijalankan.
#Suruhanjaya Tenaga #Putra Heights #letupan #TNB #Petronas