Kebakaran sekolah: Hajiji lawat SAN Tambunan, Kerajaan Sabah sumbang RM200,000

Hajiji ditemui selepas hadir membuat lawatan di SAN Tambunan, yang terjejas akibat kebakaran pada petang Ahad. - Foto Astro AWANI
TAMBUNAN: Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan peruntukan permulaan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan yang terjejas dalam insiden kebakaran, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan bantuan awal RM200,000 kepada SAN Tambunan yang terjejas akibat kebakaran, selain sumbangan RM50,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah dan RM10,000 daripada MUIS.
- 25 murid turut menerima bantuan tunai RM1,000 dan beg sekolah, sementara kerajaan merancang membina semula bangunan kekal SAN Tambunan dengan kos dianggarkan RM8 juta.
- Hajiji Noor menegaskan komitmen kerajaan memperbaiki kemudahan pendidikan di Sabah, dan laporan penuh punca kebakaran masih dalam siasatan JBPM.
"Saya amat prihatin dengan apa yang berlaku ini kerana itulah saya melawat kawasan ini pada hari ini. Tujuannya ialah supaya kita dapat mengetahui, bukan sahaja punca kebakaran tetapi kesan daripada kebakaran ini.
"Pada hari ini sebagai bantuan awal Kerajaan Negeri, kita bagi bantuan kepada anak-anak yang terlibat dan juga kepada sekolah ini iaitu sebanyak RM200,000 sebagai permulaan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau ditemui selepas hadir membuat lawatan di SAN Tambunan, yang terjejas akibat kebakaran pada petang Ahad.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah.
Hajiji menambah, selain peruntukan Kerajaan Negeri, turut disalurkan ialah RM50,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah dan RM10,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Turut disampaikan ialah sumbangan wang tunai RM1,000 dan bantuan beg sekolah kepada 25 murid yang terkesan akibat kebakaran itu.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Sabah itu memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang akan membina bangunan kekal bagi SAN Tambunan.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperbaiki kemudahan sekolah di seluruh Sabah termasuk di Tambunan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan.
Ditanya mengenai punca kejadian, beliau berkata laporan penuh kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Terdahulu, tiga blok bangunan SAN Tambunan musnah dalam kebakaran dalam kejadian sekitar pukul 5.23 petang Ahad, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pukul 6.15 petang dan operasi ditamatkan dua jam kemudian setelah pihak bomba memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami