MALAYSIA
Kebakaran tanah gambut: 112 mangsa terjejas, berlindung di dua PPS
Lebih 50 penduduk yang terjejas dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai susulan kebakaran tanah gambut seluas lebih 12 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kota Tinggi bagi menempatkan 112 mangsa terjejas akibat kebakaran tanah gambut seluas kira-kira 12 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata kesemua mangsa daripada 39 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal.
"Sebanyak 86 orang daripada 27 keluarga berlindung di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, manakala 26 orang lagi di SK Sungai Kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan kebakaran tanah gambut itu merebak daripada 5.26 hektar kepada 12.14 hektar susulan cuaca kering dan berangin, sekali gus membawa asap tebal ke kawasan perumahan.
Bomba sebelum ini memaklumkan pemadaman tidak dapat dilaksanakan di sektor A berikutan punca air jauh serta sumber air terbuka yang terhad, selain kesemua anggota tertumpu di sektor B kerana angin agak kuat dan perebakan lebih aktif di kawasan itu.
Tiupan angin dari arah utara yang berterusan menyebabkan muncul nyalaan baharu di beberapa kawasan, selain asap tebal yang merebak ke kawasan perumahan.
-- BERNAMA