KAMPAR: Seorang lelaki rentung manakala isterinya mengalami sesak nafas dalam kebakaran tiga buah rumah di Kampung Padang Tembak, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad Busir Ghazali, berusia 50-an, manakala isterinya dikenali sebagai Ngah Dimah Tamin, 60-an.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.48 malam.

“Kebakaran melibatkan tiga unit rumah berkeluasan setiap satu 20 x 30 kaki kelas B.

“Rumah pertama musnah 90 peratus, kedua 80 peratus manakala rumah ketiga musnah 40 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foto JBPM Perak

Menurut jurucakap itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bersama dua jentera menggunakan dua aliran 300 kaki tiga pancutan dari tangki jentera untuk memadam kebakaran.

Mereka yang turut dibantu anggota dari BBP Tapah menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Mayat mangsa yang ditemui di pintu hadapan rumah pertama diserahkan kepada pihak polis manakala isterinya dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan seterusnya.

Foto JBPM Perak

Operasi yang diketuai Ketua BBP Kampar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Meor Mohamad Ali Meor Hussin tamat pada jam 3.33 pagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Foto JBPM Perak