KOTA BHARU: Kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit yang besar dalam belanjawan berikutan pandemik COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, bagaimanapun, nisbah defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu enam peratus merupakan antara terendah berbanding negara-negara lain.

"Realitinya seluruh dunia menghadapi kekangan serta defisit besar malah negara-negara pengeluar minyak pun menghadapi defisit. Ada sesetengah negara mengalami defisit dalam belanjawan mereka sekitar 10 peratus dan 15 peratus pun ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Sesi Libat Urus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan di Wisma Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, kebanyakan negara menghadapi masalah kewangan kerana berdepan dengan cabaran ekonomi serta krisis kesihatan terbesar yang pernah melanda dunia.

"Itu realitinya hari ini dan perkara ini bukan boleh disorok. Ini cabaran ekonomi terbesar dengan apa yang melanda di Malaysia dan negara lain...Kita berhutang disebabkan hasil jatuh dan pada masa sama, keperluan kita meningkat maka perlu berbelanja lebih kerana keutamaan kerajaan adalah menjaga keperluan rakyat," katanya.

Mustapa berkata namun dengan apa jua situasi, kerajaan tetap bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara dengan merangka pelbagai strategi seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasakan perusahaan mikro.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada 6.0 peratus tahun ini daripada unjuran awal 5.4 peratus susulan pelaksanaan pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya, Mustapa berkata, seramai 15 juta penduduk atau 46 peratus daripada 32.7 juta anggaran penduduk pada 2020 telah dibanci, setakat 15 April lepas.

"Mengikut peratusan penduduk, Wilayah Persekutuan Putrajaya (100%), Johor (65.4%) dan diikuti Kelantan (60.9%) adalah negeri yang telah mencatatkan kadar respon atau bancian yang tertinggi," katanya sambil memberitahu proses pembancian di seluruh negara dijangka selesai sepenuhnya pada 30 Jun ini.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat untuk memberi kerjasama dalam proses pembancian ini sama ada melalui kaedah dalam talian (e-Census) atau secara bersemuka kerana kepentingannya untuk pelbagai tujuan seperti perancangan ekonomi dan sosial negara.

"Kita jangka hasil banci ini akan diperolehi sebelum Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dibentangkan," tambahnya. - BERNAMA