Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan kebebasan bersuara mesti diamalkan dengan adab dan tanggungjawab tanpa menghina atau menyemai kebencian.
- Baginda mengingatkan perbezaan pendapat tidak wajar menjadi punca perpecahan, sebaliknya teguran perlu disampaikan secara membina dan berhemah.
- Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan gambar dan video palsu yang memalukan individu.
SHAH ALAM: Kebebasan bersuara perlu dilaksanakan dengan penuh adab dan tanggungjawab, tanpa menjadikan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk menghina, mencetuskan permusuhan atau menyemai kebencian dalam masyarakat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, masyarakat perlu matang dalam berkomunikasi, berani menyuarakan pandangan dan mempertahankan pendirian tanpa menjatuhkan maruah orang lain.
Seri Paduka Baginda menegaskan, perbezaan pendapat tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya setiap teguran dan kritikan perlu disampaikan secara membina serta berhemah.
"Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.
"Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
"Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah," titah Seri Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.
Menurut Sultan Ibrahim, kecintaan terhadap negara perlu dibina menerusi semangat perpaduan dan kehidupan harmoni, dengan adab dijadikan asas dalam hubungan sesama masyarakat.
Baginda mengingatkan bahawa adab bukan sekadar mencerminkan kesopanan seseorang, sebaliknya menjadi elemen penting dalam pembentukan maruah negara.
"Sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara," titah Baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu yang bertujuan menghina serta memalukan individu tertentu.
Baginda bertitah, kemajuan dunia digital dan media sosial menyaksikan ada pihak semakin mengabaikan adab sehingga sanggup mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain.
"Ada pula yang menyalah guna teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan gambar-gambar dan video palsu dengan niat untuk menghina dan memalukan seseorang.
"Ingatlah bahawa, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan," titah Baginda.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
Baginda turut mengingatkan bahawa tindakan terburu-buru berkongsi maklumat yang belum dipastikan kebenarannya boleh menyebabkan seseorang menjadi penyebar fitnah dan kebencian.