KUALA LUMPUR: Mewujudkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) yang bebas dan mampu beroperasi secara berkesan adalah bukti komitmen Kerajaan Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kebebasan badan tersebut akan membolehkannya menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam semua isu berkaitan kanak-kanak.

“Apa guna ada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) kalau dia tidak bebas. Kita mahu semua kementerian terlibat dalam isu kanak-kanak sama ada berkaitan agensi keselamatan, pendidikan, kebajikan dan sebagainya.

“Kalau bercakap soal perlindungan kanak-kanak, semua orang boleh bercakap mengenai perlindungan kanak-kanak. Tetapi isu disini ialah sejauhmana serius Kerajaan Madani hari ini untuk memberi komitmen tersebut.

“Kita bermula dengan memberikan kebebasan kepada Suruhanjaya Kanak-kanak, supaya ia boleh membantu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam isu perlindungan kanak-kanak. Bukan sahaja dalam isu hak asasi, bahkan berkaitan pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Ahad.

Azalina menjelaskan, kebebasan yang dimaksudkan adalah dengan menubuhkan OCC dengan akta yang tersendiri, meskipun ia lahir daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Badan itu dicadangkan mempunyai kuasa dan keupayaan untuk mengendalikan siasatan secara bebas. Selain itu, ia juga bakal mampu memantau serta mengesyorkan penambahbaikan kepada sebarang dasar berkaitan kanak-kanak.

Azalina juga menjelaskan, isu kanak-kanak tidak terbatas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai kementerian.

Oleh yang demikian, ia memerlukan kepada sebuah badan yang mampu meneliti isu-isu dan cabaran-cabaran semasa berkaitan dengan pembangunan serta keselamatan kanak-kanak.

“Contohnya, mereka yang menggunakan anak-anak sebagai pempengaruh di platform TikTok. Di negara Barat, dari segi undang-undang, ada perkara yang dibenarkan, ada pula perkara yang tidak dibenarkan.

“Kalau kita hendak menjana keuntungan daripada kecomelan dan kepandaian anak kita, ia perlu dikaji dengan teliti. Saya tidak katakan sama ada ia betul atau salah.

“Saya hanya menyatakan kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk perniagaan kerana mereka pada umur tertentu memerlukan perlindungan,” katanya lagi.

Kebebasan Pesuruhjaya Kanak-kanak bukti komitmen Kerajaan Madani - Azalina