NATIONAL
Keberanian Pope Francis perjuang kedamaian adalah luar biasa – Reverend Nicholas Stephen
Bagi Paderi Parokhi Holy Rosari Limbahau, Reverend Nicholas Stephen, tidak ramai pemimpin dunia yang berani mempromosi atau memperjuangkan kedamaian seperti mana yang dilakukan oleh Francis. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Sumbangan bekas Ketua Gereja Katolik dan Ketua Negara Kota Vatican, Pope Francis bukan sahaja kepada penganut agama tersebut, tetapi juga kepada keamanan dunia.
Ringkasan AI
- Pope Francis dikenang bukan sahaja atas sumbangannya kepada umat Katolik tetapi juga atas usaha memperjuangkan keamanan dunia dan mempromosikan dialog antara agama.
- Istiadat Pengebumian Negara untuk Pope Francis akan diadakan pada 26 April 2025 di Vatican City, dengan Malaysia diwakili oleh Menteri Undang-Undang dan Menteri Pembangunan Usahawan.
- Pope Francis dihormati kerana gaya hidup sederhana dan perwatakannya yang merendah diri, menjadikan beliau ikon kepimpinan yang dihormati di seluruh dunia.
Bagi Paderi Parokhi Holy Rosari Limbahau, Reverend Nicholas Stephen, tidak ramai pemimpin dunia yang berani mempromosi atau memperjuangkan kedamaian seperti mana yang dilakukan oleh Francis sejak beliau memegang jawatan itu pada Mac 2013.
“Memang satu kehilangan yang besar, terutamanya untuk pengikut Katolik. Tapi saya percaya bukan saja bagi umat Kristian, tetapi juga bagi agama-agama lain sebab sumbangannya juga bagaimana beliau memulakan dialog-dialog antara antara agama selain mempromosikan perdamaian.
“Ada banyak kita lihat di dunia ini kita ada presiden-presiden di seluruh dunia, tapi tidak ada seorang yang berani mempromosikan atau memperjuangkan perdamaian. Paus Franciskus dengan segala-upaya memperjuangkan kedamaian dan keadilan bagi dunia,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Istiadat Pengebumian Negara untuk mendiang Pope Francis, yang meninggal dunia pada 21 April lepas, akan diadakan pada 26 April 2025 di Vatican City.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick akan mewakili Kerajaan Malaysia ke istiadat tersebut.
Istiadat Pengebumian Negara berkenaan termasuk mengadakan upacara keagamaan berdasarkan adat Roman Katolik (Misa Pengebumian) di St Peter’s Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Giovanni Battista Re, Ketua Kolej Kardinal.
Dalam pada itu Nicholas berkata, posisi Ketua Gereja Katolik itu merupakan satu jawatan yang cukup berpengaruh, terutamanya selepas mengambil kira terdapat kira-kira dua bilion penganut agama tersebut di seluruh dunia.
Sewaktu era Pope Francis, Nicholas berkata, mendiang merupakan seorang individu yang cukup menekankan aspek kesederhanaan, menjadikan jawatan itu lebih dihormati.
“Francis sebelum ini, pendekatan beliau adalah kesederhanaan, dan tidak mahu tinggal di rumah yang mewah atau istana di gereja, tetapi dia tinggal di bilik atau kamar yang sederhana, dan enggan menggunakan kenderaan mewah, sebaliknya menggunakan kenderaan seperti orang biasa.
“Perwatakan itu yang menggegarkan dunia sebab seorang yang berpengaruh tinggi namun merendahkan diri, dan menjadi seperti manusia biasa lain dalam pendekatannya,” katanya lagi.