Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kebersihan tandas awam Pulau Pinang pada tahap baik - Exco

Bernama 21/11/2025 | 20:30 MYT
Mooi Lye berkata, usaha berterusan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi turut menyerlahkan imej Pulau Pinang di mata dunia. - Gambar Bernama
BUKIT MERTAJAM: Kebersihan tandas awam di Pulau Pinang berada pada tahap baik dengan purata penarafan tiga bintang dan ke atas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye.


Ringkasan AI
  • Kebersihan tandas awam di Pulau Pinang berada pada tahap baik dengan penarafan tiga bintang dan ke atas.
  • Komitmen pelbagai pihak, termasuk masyarakat, menjaga kebersihan tandas awam untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan imej Pulau Pinang.
  • Pelaksanaan Dasar BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) turut diperkenalkan bagi meningkatkan standard kebersihan tandas awam dan premis komersial.


Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil komitmen berterusan pelbagai pihak termasuk masyarakat umum dalam memastikan tandas awam sentiasa bersih dan selesa untuk digunakan.

Mooi Lye berkata, usaha berterusan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi turut menyerlahkan imej Pulau Pinang di mata dunia.

"Hari ini, imej Pulau Pinang jauh berbeza berbanding dahulu. Jika suatu ketika negeri ini pernah digelar 'Darul Sampah', kini Pulau Pinang tampil sebagai negeri yang bersih, indah dan menawan, seiring gelarannya 'Pearl of The Orient'.

"Justeru, sambutan Hari Tandas Sedunia bukan sahaja memperingati kepentingan kemudahan asas, tetapi juga mengajak kita memupuk tanggungjawab bersama menjaga kebersihan tandas awam serta memperkukuh imej Pulau Pinang sebagai negeri bersih dan berdaya huni selaras persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat negeri 2025 yang turut dihadiri Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Mooi Lye berkata, usaha memperkukuh kebersihan tandas awam turut diperkasakan melalui pelaksanaan Dasar BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) yang berkuat kuasa pada 1 Jan tahun lepas bagi meningkatkan imej negara khususnya di lokasi pelancongan utama.

Beliau berkata, dasar yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut dijadikan syarat penting dalam proses pembaharuan lesen perniagaan, selain menjadi penanda aras baharu bagi pematuhan standard kebersihan premis.

Mooi Lye turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas usaha gigih melaksanakan pemantauan berkala, menaik taraf kemudahan serta memastikan tandas awam berada pada tahap terbaik.

"Penarafan Bintang Tandas Awam terus menjadi panduan penting dalam mengekalkan standard kebersihan tinggi di seluruh negeri," katanya.

Selain itu, beliau memuji usaha pengurusan premis dan komuniti setempat yang memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan mutu pengurusan kebersihan, sekali gus memastikan tandas awam sentiasa bersih dan mesra pengguna.

Beliau berharap usaha seumpamanya dapat terus diperkukuh bagi menjadikan Pulau Pinang negeri contoh dalam pengurusan tandas awam menjelang aspirasi Penang2030 sebagai negeri berdaya huni, bersih, hijau dan sejahtera.

Terdahulu pada majlis itu, turut disampaikan anugerah kepada pemenang bagi enam kategori penyertaan Tandas Awam Terbersih dengan juara menerima wang tunai RM1,500 berserta piala.

Stesen Petronas Sg Dua muncul juara bagi kategori stesen minyak, Gurney Plaza Mall (pusat beli-belah), Fuhouse Sdn Bhd (restoran), Masjid Abdullah Fahim (rumah ibadat) manakala Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chin Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Union memenangi kategori sekolah.

Dua premis iaitu The George Penang dan Kompleks Makanan Taman Sentosa Nibong Tebal menerima anugerah khas bagi kategori hotel dan kompleks makanan pihak berkuasa tempatan (PBT).

-- BERNAMA



#KPKT #pelancongan #pbt #tandas awam