Kebocoran bahan kimia dari lori tangki di Lebuhraya PLUS

Aida Aziz
Disember 26, 2019 21:21 MYT
Operasi pembersihan dijalankan BBP Gopeng dengan bantuan HAZMAT BBP Pasir Puteh. Foto JBPM
Kebocoran bahan kimia dikesan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan 30,000 liter asid hidroklorik di Kilometer 301 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Khamis.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran bahan kimia itu pada pukul 11.30 malam.
Operasi pembersihan dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan bantuan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh.
"Setibanya jentera Gopeng di lokasi kejadian, terdapat kebocoran bahan kimia pada bahagian tangki lori yang membawa muatan UN 1789 (asid hidroklorik), bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan mangsa.
"Lori itu berada di bahu jalan dan kebocoran itu dalam kuantiti kecil tetapi mengeluarkan vapor (wap).
"Lori tangki itu terbahagi kepada dua kompartmen dan didapati kebocoran itu berlaku di bahagian hadapan," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.
Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dari syarikat terbabit, Malay-Sino Chemicals Industries Sdn Bhd, telah sampai di lokasi kejadian dan menjalankan kerja-kerja pemindahan bahan kimia, tambahnya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shahpri Shaharuddin.
#asid #bahan kimia #bomba #gas #Gopeng #kebocoran #Lebuhraya Utara Selatan #Lori #operasi #PLUS #tangki