BUTTERWORTH: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengambil langkah segera dengan melencongkan paip sementara, susulan kebocoran baharu yang dikesan pada saluran paip di dasar Sungai Perai, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata paip berdiameter 900 milimeter (mm) itu dilencongkan merentasi jambatan Ampang Jajar di bahagian atas permukaan sungai.

Beliau berkata langkah kecemasan berkenaan diambil selepas penilaian mendapati paip sedia ada di Sungai Perai itu tidak lagi boleh dibaiki.

"Kebocoran paip di Sungai Perai dikesan pada 10 pagi tadi membabitkan beberapa bahagian baharu daripada pembaikan asal. Penilaian menyatakan bahawa paip sedia ada tidak lagi boleh dibaiki.

"Tindakan selanjutnya adalah melencongkan paip sementara merentasi jambatan Ampang Jajar, namun proses pembekalan air pada tekanan rendah masih lagi disalurkan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan.

Chow yang juga pengerusi PBAPP berkata kebocoran di Sungai Perai itu hanya akan melibatkan gangguan pembekalan air di daerah Barat Daya dan tidak akan menjejaskan kawasan Seberang Perai serta kebanyakan kawasan daerah Timur Laut.

Beliau berkata kawasan yang telah memperoleh bekalan air juga tidak akan terjejas.

"Pemulihan air untuk daerah Barat Daya akan diteruskan, justeru penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan supaya terus menyimpan air secukupnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Semalam, PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah dapat disiapkan dengan membabitkan kerja-kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama menggantikan dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

-- BERNAMA