MALAYSIA

Kebolehpasaran graduan UUM meningkat kepada 96.6 peratus

Bernama 09/11/2025 | 06:50 MYT
Pencapaian itu menunjukkan graduan UUM mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan rekod kebolehpasaran graduan pada kadar 96.6 peratus tahun lepas, berbanding 95 peratus tahun sebelumnya.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Mohd Foad Sakdan berkata pencapaian itu menunjukkan graduan UUM mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

"Di persada antarabangsa, UUM terus menjelmakan diri. Dalam QS World University Rankings 2026, UUM melonjak ke kedudukan ke-491, naik sebanyak 63 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

"Lima hari lalu, QS World University Rankings: Asia 2026 mengumumkan UUM sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa apabila melonjak ke kedudukan ke-65 terbaik di Asia, meningkat 14 anak tangga," katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor UUM.

Mohd Foad berkata bilangan alumni UUM kini mencecah hampir 180,000 termasuk 6,832 bakal alumni dalam konvokesyen kali ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 93 peratus graduan kali ini telah mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sebelum mengambil jubah pada 5 Nov lepas.

Menurut beliau, berdasarkan data daripada sistem itu seramai 918 graduan atau 15 peratus memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

Katanya, seramai 13 graduan sarjana muda yang menaiki pentas pada majlis konvokesyen kali ini sudah berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

Pada majlis konvokesyen tersebut, tokoh korporat dan Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University Tan Sri Azman Mokhtar, 64, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam yang dikurniakan oleh Sultan Sallehuddin.

-- BERNAMA


#UUM #kebolehpasaran graduan #Mohd Foad Sakdan