NATIONAL
Kebun durian: Ahli Parlimen Raub antara individu akan dipanggil bantu siasatan
Menurut Mohd Shahril, Chow yang juga Penasihat Save Musang King Alliance akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. - Gambar fail
KUANTAN: Polis akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Polis akan memanggil lima individu, termasuk Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, untuk membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub.
- Tiga laporan polis telah diterima berkaitan operasi tersebut, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
- Operasi penguatkuasaan kebun durian akan diteruskan oleh pihak berkuasa, walaupun terdapat dakwaan pekebun menghalang laluan dan membawa kain rentang sebagai tanda protes.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata Chow yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini tiga laporan polis telah diterima melibatkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam polis memaklumkan menerima tiga laporan oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Mohd Shahril memaklumkan operasi penguatkuasaan di kebun durian akan diteruskan seperti biasa oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.
Kerajaan Pahang juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lepas.
-- BERNAMA