Skip to main content

Malaysia

Kecederaan mata akibat mercun perlu rawatan segera, elak risiko lebih parah

Sumber: Astro AWANI
Prof. Dr. Mae-Lynn Catherine Bastion dan Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali mengingatkan bahawa kecederaan mata akibat mercun boleh memberi implikasi jangka panjang, termasuk kehilangan penglihatan secara kekal sekiranya tidak dirawat dengan segera.

KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang musim perayaan, bunyi mercun dan bunga api sering menjadi simbol kemeriahan. 

Namun di sebalik keseronokan tersebut, penggunaan mercun tanpa kawalan boleh mengundang risiko kecederaan serius, khususnya kepada mata.

Advertisement

Pakar Perunding Oftalmologi (Vitreoretina & Katarak) di UKM Specialist Centre, Prof. Dr. Mae-Lynn Catherine Bastion menegaskan, rawatan awal amat penting sekiranya seseorang mengalami kecederaan mata akibat letupan mercun.

Menurut beliau, tindakan pertama yang diambil sejurus kecederaan berlaku boleh menentukan tahap kerosakan serta peluang pemulihan penglihatan pesakit.

“Sekiranya terkena mercun, perkara paling penting ialah jangan menggosok mata. Elakkan juga meletakkan sebarang cecair untuk membersihkan mata kerana kita tidak tahu sama ada cecair tersebut mengandungi bakteria atau kekotoran,” jelasnya.

Sebaliknya, mata yang cedera perlu dilindungi dengan pelindung yang bersih sebelum pesakit dibawa segera ke hospital atau klinik berhampiran untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor.

Tambah beliau, jika terdapat objek yang kelihatan tersusuk atau menonjol pada mata, ia tidak seharusnya ditarik keluar.

“Jika nampak seperti ada sesuatu yang tersusuk atau terkeluar dari mata, jangan tarik. Kita tidak pasti sama ada objek itu telah menembusi bola mata. Jika ditarik keluar, ia mungkin menyebabkan kandungan dalam mata turut keluar,” katanya.

Walaupun kedengaran menakutkan, beliau menegaskan, langkah berhati-hati amat penting kerana komposisi bahan dalam mercun tidak semestinya diketahui atau dikawal sepenuhnya.

Dalam masa sama, kecederaan mercun bukan sahaja melibatkan mata, malah boleh menjejaskan pelbagai anggota badan lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UKM Specialist Centre, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, laporan media sebelum ini menunjukkan kecederaan mercun boleh menyebabkan putus jari, kecederaan tangan serta kerosakan pada telinga.

“Topik kita lebih kepada kecederaan mata, tetapi jika kita lihat di media sosial atau media semasa, mercun juga boleh menyebabkan putus jari, putus tangan dan kecederaan pada telinga,” katanya.

Menurut beliau, kes kecederaan mercun sering melibatkan trauma berganda yang memerlukan kerjasama pelbagai kepakaran perubatan.

“Kadang-kadang trauma ini bukan satu sahaja. Ia boleh melibatkan pelbagai kecederaan. Jadi rawatan memerlukan kerjasama pasukan pelbagai disiplin seperti oftalmologi, ortopedik, pakar telinga hidung dan tekak (ENT) serta pasukan trauma,” tambahnya.

Di UKM Specialist Centre, katanya, kepakaran daripada pelbagai bidang disediakan bagi memastikan pesakit menerima rawatan menyeluruh sekiranya mengalami kecederaan serius akibat mercun.

Pakar turut mengingatkan bahawa kecederaan mata akibat mercun boleh memberi implikasi jangka panjang, termasuk kehilangan penglihatan secara kekal sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menggunakan mercun dan sentiasa mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan tragedi yang boleh meninggalkan kesan sepanjang hayat.

Must Watch Video