SEREMBAN: Setiap Ahli Jemaah Menteri mempunyai pas khas (VIP) untuk memasuki setiap ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka boleh mengakses kawasan berkenaan meskipun tidak menaiki mana-mana penerbangan.

Mengulas insiden kekecohan membabitkan seorang menteri baru-baru ini katanya, siasatan mendapati menteri berkenaan memasuki kawasan KLIA dengan diringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Semasa beliau berada di KLIA itu memang diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB. Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu, sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.

“Semalam pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti departure hall dan sebagainya.

“Bagi saya isu pas tak timbul, dia memang layak untuk masuk ke kawasan larangan, jadi apa yang berlaku saya tidak pasti sebab saya tidak ada di sana dan tidak ada rakaman CCTV dan sebagainya.

“Mengikut laporan MAHB, beliau diiringi oleh anggota keselamatan di lapangan terbang semasa tempoh beliau berada di lapangan terbang dan apabila beliau keluar, diiringi juga anggota keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP Negeri Sembilan pada Sabtu.

Akui terlibat, menteri dakwa telah bongkar budaya rasuah


Terdahulu, seorang menteri didakwa menceroboh Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat warga China yang ditahan JIM.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, siasatan lanjut berhubung insiden itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibincangkan di peringkat jemaah menteri.