MALAYSIA
Kecurian elektrik bukan sekadar isu teknikal, perlu tindakan tegas - FOMCA
Saravanan berkata kerajaan, pihak berkuasa, dan TNB perlu melabur dalam sistem pengesanan yang lebih berkesan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kecurian elektrik bukan sekadar isu teknikal semata-mata kerana ia menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun sekali gus memerlukan tindakan tegas dan segera, menurut Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Dr T. Saravanan berkata kerajaan, pihak berkuasa, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu melabur dalam sistem pengesanan yang lebih berkesan, termasuk penggunaan meter pintar, pemantauan masa nyata dan analisis data bagi mengenal pasti corak penggunaan yang mencurigakan.
"Usaha penguatkuasaan perlu diperkukuh, bukan sahaja menyasarkan pengendali ladang perlombongan haram tetapi juga pemilik premis, fasilitator, dan pembiaya yang mendapat keuntungan atau membantu aktiviti haram ini.
"Selain itu, kerangka undang-undang berkaitan kecurian elektrik mesti dikemas kini dengan segera supaya denda dikenakan setimpal dengan nilai yang dicuri, manakala hukuman penjara mencerminkan tahap serius jenayah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan saluran sah bagi operasi perlombongan kripto.
"Dengan memperkenalkan tarif khas dan sistem pelesenan untuk perniagaan perlombongan yang berdaftar, negara dapat mengawal penggunaan tenaga dalam sektor ini dengan lebih baik, memantau pematuhan dan mencegah aktiviti pasaran gelap pada masa depan," katanya.
Selain itu, Saravanan berkata FOMCA menggesa supaya kerugian ini dapat ditangani dengan telus dan pengguna berhak untuk mengetahui sama ada mereka secara tidak langsung sedang menanggung beban akibat perbuatan jenayah berkenaan melalui bil elektrik lebih tinggi, dan apakah langkah-langkah sedang diambil untuk melindungi mereka daripada beban yang tidak adil itu.
"Kepercayaan awam bergantung kepada komunikasi terbuka, tindak balas kerajaan yang jelas dan penyelesaian adil yang tidak menghukum rakyat biasa," kata Saravanan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan TNB perlu bertindak tegas, menyampaikan maklumat dengan jelas kepada rakyat, dan melaksanakan langkah-langkah yang kukuh supaya rakyat tidak terus menanggung kos akibat kerakusan penjenayah.
Semalam, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata aktiviti perlombongan bitcoin secara haram yang mencuri tenaga elektrik telah menyebabkan kerugian mencecah RM4.8 bilion bagi tempoh antara 2018 hingga Jun tahun ini.
-- BERNAMA