Skip to main content

Malaysia

Kecurian elektrik untuk lombong bitcoin rugikan negara rm700 juta setahun - Abdul Rahman

KUANTAN, 5 Mei -- Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tengah), melihat sebuah bilik yang dijadikan tempat melombong Bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang dipintas secara haram ketika Op Steal yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Abdul Rahman (tengah) melihat bilik yang dijadikan tempat melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang dipintas secara haram ketika Op Steal yang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga dan TNB, di Kuantan, 5 Mei 2026. --fotoBERNAMA

KUANTAN: Negara kerugian kira-kira RM700 juta secara purata setiap tahun akibat kes kecurian elektrik bagi aktiviti melombong bitcoin, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata usaha untuk membanteras kegiatan berkenaan akan diteruskan dan dipergiat di seluruh negara bagi mengekang kerugian, di samping memberi keadilan kepada pengguna yang membayar bil secara sah.

Advertisement

Abdul Rahman berkata kegiatan melombong bitcoin secara haram didapati berlaku bukan sahaja di premis perniagaan tetapi juga di kawasan kediaman. 

"Saya nak minta pemilik kediaman supaya cakna terhadap siapa yang menyewa rumah kerana sekiranya tindakan dikenakan, mereka (pemilik kediaman) yang perlu bertanggungjawab.

"Untuk mengelakkan perkara itu, saya nasihatkan mereka juga menukar akaun bil Tenaga Nasional Bhd (TNB) kepada nama penyewa supaya tindakan berkaitan penggunaan elektrik dan sebarang kesalahan tidak ditanggung pemilik," katanya kepada pemberita selepas “Ops Steal” di sini semalam. 

Dalam operasi bersepadu melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB itu, dua kediaman telah diperiksa dan dipercayai berlaku kes kecurian elektrik melibatkan aktiviti perlombongan bitcoin dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM34,000 sebulan dan boleh mencecah lebih RM200,000 dalam tempoh enam bulan. 

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut  Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990. 

Abdul Rahman berkata kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti terbabit sangat berbahaya dan mengundang risiko kebakaran.

"Penyambungan kabel yang tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh ST boleh menyebabkan risiko renjatan elektrik," katanya. 

Selain itu, penggunaan mesin melombong berkuasa tinggi yang dioperasikan pada kadar bilangan mesin yang banyak juga boleh menyebabkan litar pintas dan kebakaran.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang awam supaya turut memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penggunaan elektrik kepada pihak berkuasa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video