SIK: Satu tribunal siasatan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu segera ditubuhkan bagi melakukan siasatan secara mendalam dan terperinci berhubung isu kecurian nadir bumi (REE) yang berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang, baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang juga Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid menjelaskan, siasatan berkenaan amat diperlukan bagi memastikan isu kecurian REE di beberapa kompartmen dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurutnya, ia juga bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti penyelewengan, salah guna kuasa, dan salah laku daripada pihak berkepentingan di kawasan berkenaan.

Beliau turut mendakwa, aktiviti berkaitan kecurian REE di kompartmen 12, 13 dan 14 HSK Bukit Enggang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa atau kerajaan negeri.

"Tiindakan ini kalau tidak dihalang atau dihentikan ia akan timbulkan masalah yang lebih besar, sudah pasti mesti ada sebab perkara ini berlaku. Saya rasa eloklah kerajaan tubuhkan tribunal siasatan ataupun Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dalang atau sebab berlaku benda ini.

"Saya yakin pencuri tidak akan dapat masuk kalau tidak ada kerjasama daripada tuan rumah, kita mengesaki benda ini berlaku walaupun tidak ada bukti, bukti kena siasat, sebab itu kita desak benda ini diambil," tegasnya.

Beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan alam sekitar yang ditemui turut senada dengan cadangan penubuhan RCI atau teibunal siasatan khas.

Bagi mereka, kesan penerokaan yang berlaku juga bakal memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar khususnya membabitkan pencemaran air.

Mereka mendakwa, keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran bagi perlombongan REE di negeri ini juga disfatkan sebagai tergesa-gesa dan melanggar Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita kena faham HSK Bukit Enggang adalah sumber air bersih penduduk sekitar di DUN Jeneri dan DUN Belantek, dan apabila berlaku pembalakan ladang hutan, satu tadahan orang kampung, di Kampung Paya Terendam telah musnah, kini terpaksa bina tedahan baharu," kata Pengerusi Grass Chapter Kedah, Mohd Sobri Ramlee.

Bagi Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman pula, beliau mendakwa MoU yang dilaksanakan oleh Muhammad Sanusi, "bercanggah dengan fakta".

"YAB Menteri Besar telah laksanakan satu MoU yang bercanggah dengan fakta, jadi macam mana seorang Menteri Besar selalu pengerusi jawatankuasa hasil bumi dan perhutanan tidak mengetahui tentang peruntukan akta ini, sepatutnya dia ada agensi teknikal yang menasihati beliau," ujarnya.

Sementara itu, usaha Astro AWANI dan beberapa media lain untuk melakukan tinjauan di kawasan tapak perlombongan REE gagal selepas hanya dibenarkan naik sehingga ke kawasan kaki bukit yang juga kawasan sempadan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Sebelum ini, seramai 52 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dua minggu lalu.

Operasi yang diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) itu turut merampas peralatan dan mesin yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.