KEDA berhasrat tanam padi wangi, padi huma tahun ini

Bernama
April 28, 2024 04:30 MYT
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya, tahun ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya, tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hasrat itu, selari dengan usaha KEDA yang ingin memulihkan dan menaik taraf 400 hektar tanah pada tahun ini, selepas menerima peruntukan RM1.25 juta.
"Projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 34.57 hektar yang dicadangkan di Kampung Weng Dalam dekat Baling itu, dijangka bermula September atau Oktober tahun ini. KEDA sedang mengenal pasti pihak-pihak yang boleh membimbing peserta yang terlibat.
"KEDA juga turut berhasrat untuk mempergiat penanaman padi huma...kita masih mencari peserta yang berminat menyertai projek ini, kawasan bersesuaian untuk dibangunkan, serta rakan strategik yang berpengalaman," katanya pada sidang media, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri KEDA yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA yang turut dihadiri Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff.
Jamil Khir berkata, hasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma itu juga, sebagai usaha KEDA membantu meningkatkan pengeluaran beras di Kedah.
"KEDA mengambil tanggungjawab untuk membantu membangunkan tanah terbiar di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Jadi, kita bercadang untuk laksanakan di tiga daerah iaitu Baling, Sik dan Padang Terap.
"Usaha ini juga mungkin membolehkan kita menambah varieti beras di pasaran nanti...harap-harap produk jenama kita ini nanti akan berjaya dan beras wangi KEDA akan menjadi sinonim dengan rakyat di negeri ini," katanya.
Jamil Khir berkata penanaman itu juga akan dapat membantu meningkatkan pendapatan petani, kerana harga padi beras wangi lebih tinggi berbanding padi beras putih tempatan. - BERNAMA
#KEDA #Kedah #padi wangi #padi huma #Jamil Khir Baharom
;