MALAYSIA
Kedah catat pelaburan RM4.2 bilion bagi suku pertama tahun ini
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sektor pembuatan mencatatkan nilai pelaburan terbesar iaitu RM3.9 bilion, ketiga tertinggi di Malaysia bagi tempoh sama. - Bernama
ALOR SETAR: Kedah merekodkan jumlah pelaburan RM4.2 bilion bagi tempoh suku pertama tahun ini dan dijangka menjana lebih 1,400 peluang pekerjaan.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sektor pembuatan mencatatkan nilai pelaburan terbesar iaitu RM3.9 bilion, ketiga tertinggi di Malaysia bagi tempoh sama.
"Sektor pembuatan bernilai tinggi dijangka terus berkembang kukuh meskipun dunia kini dihimpit dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang agak meruncing.
"Keupayaan ini dipacu oleh pembangunan Fasa 4A dan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park, Koridor Perindustrian Kulim (KIC) serta kawasan perindustrian baharu seperti Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP)," katanya di sini, Ahad.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini.
Muhammad Sanusi berkata kesediaan pelabur datang melabur ke Kedah merupakan manifestasi kepada kestabilan, ketelusan dan keberkesanan dasar kerajaan negeri.
Beliau berkata pembangunan Koridor Bandar Sempadan telah mula menunjukkan perkembangan positif menerusi pembukaan hab logistik (ICD) di Delapan Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam.
Perkembangan hab tersebut berupaya menarik masuk aliran trafik kontena tambahan yang dianggarkan berjumlah 240,000 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) dari selatan Thailand dan dijangka menyumbang sehingga RM843 juta setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah, katanya.
"Pembangunan bandar sempadan ini dilengkapkan lagi dengan pembinaan jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand yang dijangka siap pada September ini.
"Prasarana strategik ini diyakini mampu meningkatkan lagi nilai dagangan dua hala Malaysia-Thailand daripada RM117 bilion pada 2023 kepada RM141 bilion menjelang 2027, sebagaimana yang disasarkan, sekali gus memberikan manfaat kepada negeri Kedah menerusi aktiviti ekonomi rentas sempadan," katanya.
Muhammad Sanusi juga berkata melalui usaha promosi yang digerakkan secara berterusan sempena Tahun Melawat Kedah 2025, sebanyak 1.5 juta kedatangan pelancong dicatatkan ke Kedah pada suku pertama tahun ini.
"Patik penuh yakin sasaran tujuh juta pelancong dapat dicapai menerusi 170 program yang dirangka mengikut Kalendar Acara Tahun Melawat Kedah 2025, termasuk 45 acara utama yang turut diserikan dengan elemen sukan, gastronomi, teknologi dan rohani," katanya.
-- BERNAMA