Kedah hantar bantuan air bersih, makanan kepada mangsa banjir

Bernama
Disember 11, 2013 23:30 MYT
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (dua, kiri) melancarkan Perlepasan Konvoi Misi Bantuan Banjir. --fotoBERNAMA
Kedah menghantar bekalan air bersih dan makanan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata enam lori tangki air Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan dua treler yang membawa makanan, minuman serta pelbagai keperluan lain dihantar ke daerah Maran di Pahang dan Dungun di Terengganu.
Turut dihantar ke kawasan bencana ialah 25 sukarelawan Sada, 60 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan polis bantuan.
"Bantuan bernilai RM110,000 itu sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada mangsa banjir kerana negeri berkenaan juga akan melakukan perkara sama jika bencana tersebut berlaku di Kedah, seperti ketika banjir besar pada 2010," katanya kepada pemberita sebelum melepaskan konvoi yang membawa bekalan air bersih Sada ke Pahang dan Terengganu.
Mukhriz, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata Kedah juga akan mempertimbang untuk menghantar bantuan serupa ke Johor berdasarkan situasi di negeri itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Langkawi Magical Festival akan dianjur dari 19 Dis hingga 5 Jan ini.
#banjir #bantuan banjir #Mukhriz Mahathir #Pahang #terengganu