ALOR SETAR: Kedah komited melaksanakan penanaman padi lima kali setiap dua tahun bagi meningkatkan pengeluaran beras sekali gus mengurangkan import makanan rugi itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beberapa usahawan telah menyatakan minat untuk terbabit dalam projek penanaman padi itu.

"Untuk permulaan ini, mungkin kita perlukan sedikit kos selain infrastruktur parit perlu ditambah. Setakat ini, perbincangan (dengan pihak berkaitan) sudah berada pada tahap 40 peratus bagi menjayakan penanaman padi lima kali setiap dua tahun ini.

"Kita perlu susun semula tanaman, kalau tidak boleh buat di kawasan padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kita usahakan di kawasan luar MADA," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata bagi membolehkan projek penanaman itu dilaksanakan, bantuan dalam bentuk subsidi bagi input pertanian seperti baja, benih padi dan racun untuk pesawah yang terlibat perlu disalurkan.

Muhammad Sanusi juga berkata buat masa ini, Kedah menyumbang kira-kira 43 peratus pengeluaran beras negara manakala Kerajaan Persekutuan mengimport 34 peratus beras bagi menampung keperluan rakyat.

"Kalau projek ini berjaya, kita tidak perlu mengimport beras lagi," katanya.

-- BERNAMA