[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Kedah pantau pembinaan rumah ibadat bukan Islam tidak sah

Bernama 22/04/2025 | 12:30 MYT
Wong berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan harmoni dan berhemah dalam menangani isu-isu berkaitan RIBI sedia ada tanpa mengambil tindakan keras secara langsung. - Gambar Facebook Wong Chia Zhen
ALOR SETAR: Pembinaan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang tidak sah di Kedah berada dalam pemantauan dan tindakan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wong Chia Zhen berkata perkara itu perlu dilakukan dengan teliti kerana melibatkan sensitiviti kaum serta undang-undang sedia ada.
"RIBI yang dibina tanpa kelulusan yang sah sememangnya di bawah pemantauan pihak berkuasatempatan (PBT) di Kedah.
"Antara daerah yang paling banyak mengemukakan permohonan RIBI adalah Kuala Muda dan Kulim. Tidak dinafikan terdapat juga beberapa buah RIBI yang tidak sah di kedua-dua daerah ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Wong berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan harmoni dan berhemah dalam menangani isu-isu berkaitan RIBI sedia ada tanpa mengambil tindakan keras secara langsung, sebaliknya menawarkan ruang rundingan dan penyelesaian secara baik serta teratur.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembinaan RIBI baharu yang mematuhi sepenuhnya garis panduan serta peraturan ditetapkan, bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keharmonian sosial di negeri berkenaan.
Wong berkata sebagai bukti komitmen itu, kerajaan negeri meluluskan lima permohonan tapak tanah kerajaan untuk RIBI melibatkan daerah Kuala Muda pada Mesyuarat Jawatankuasa RIBI yang diadakan pada 13 April lepas.
"Kesemua usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyantuni keperluan masyarakat majmuk tanpa mengetepikan aspek perundangan, perancangan dan keharmonian antara agama," katanya.
Sementara itu, berkenaan isu Kuil Sri Veerama Kaliaman di Kuarters JKR Tongkang Yard di sini, Wong berkata rumah ibadat itu akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.
Beliau berkata langkah itu bagi menjamin keselesaan, keselamatan dan memenuhi keperluan perancangan tanah lebih tersusun.
"Beberapa lokasi cadangan telah dikemukakan oleh pihak jawatankuasa kuil, dan kini dalam proses penilaian kesesuaian oleh pihak pentadbir tanah Daerah Kota Setar," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Kerja Raya #rumah ibadat #perancangan tanah #sensitiviti kaum