YAN: Kedah bersedia menawarkan beberapa kawasan tanah di negeri itu bagi membina kilang pemprosesan bahan mentah nadir bumi (REE) susulan rancangan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tapak tanah di kawasan perindustrian antaranya di Gurun, Padang Meha, Kulim Hi-Tech Park dan Sungai Ular yang mampu dibangunkan kemudahan itu.

"Ada tanah kerajaan negeri milik PKNK (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah), ada tanah swasta, boleh bangunkan kilang REE di sini, kita bersetuju dan kita (ucapkan) terima kasih atas dasar itu (larangan eksport bahan mentah REE).

"Bila kerajaan (Persekutuan) ada keputusan macam itu, mahu tidak mahu teknologi akan berpindah masuk ke sini (melalui kedatangan pelabur luar negara yang berminat).

"Alasan eksport sebelum ini ialah pihak luar tidak mahu teknologi keluar dari negara mereka, jadi apabila ada dasar ini mereka tidak akan dapat bekalan (REE), kita boleh tahan bekalan dan jika mereka nak bekalan kena datang (buka kilang) di sini," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi, ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, kelmarin.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman itu kerana sememangnya telah menjadi hasrat Kedah sejak tahun lepas lagi yang mahu agar kilang pemprosesan bahan itu dibuka di negara ini termasuk di Kedah.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam industri itu dengan syarat harus membuka kilang pemprosesan dan membawa teknologi mereka ke negeri ini.

Ketika membentangkan usul KSP RMK12, Anwar berkata industri nadir bumi dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.

Sementara itu, mengenai projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan pelaburan RM3 bilion yang turut diumumkan Perdana Menteri, Muhammad Sanusi berkata untuk menjayakan hasrat itu, bukan sahaja infrastruktur yang perlu diberi perhatian tetapi juga isu lain termasuk kartel yang dikatakan menguasai industri padi.

"Peruntukan RM3 bilion itu untuk infrastruktur, kartel kena pendekatan lain, penguat kuasa kena kawal, mengawal timbangan, benih, menentukan harga, menentukan kilang mana yang boleh menjual," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar LZNK, di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Zakaria Othman.

-- BERNAMA