Kedah terus terima pelaburan besar walaupun pandemik - Sanusi

Bernama
Jun 23, 2021 10:32 MYT
Muhammad Sanusi berkata, syarikat itu merupakan pengeluar utama dunia bagi produk PCB berkualiti tinggi dan papan IC. - Gambar fail/ BERNAMA
ALOR SETAR: Kedah terus menerima pelaburan besar walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19 dan terkini membabitkan projek bernilai RM8.5 bilion dari syarikat Austria yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, syarikat itu merupakan pengeluar utama dunia bagi produk papan litar bercetak (PCB) berkualiti tinggi dan papan litar substrat bersepadu (IC).
"Perbincangan lanjut dengan syarikat Austria semalam telah berjalan dengan baik. Mereka tunjukkan kesungguhan yang sangat positif dan bidang kuasa kita sebagai kerajaan negeri ialah menyediakan tanah dengan keluasan mencukupi.
"Ini merupakan satu pencapaian besar bagi Kedah kerana dalam keadaan dilanda pandemik, kita masih terima pelabur besar sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara," katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi syarikat tersebut menjangkakan dapat memulakan kerja-kerja pembinaan kilang itu pada September atau November 2021 sehingga tahun depan.
Beliau juga dimaklumkan bahawa kilang itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa dan cabarannya adalah untuk menyediakan tenaga kerja mahir.
Menurutnya, kira-kira 5,000 orang jurutera dalam disiplin berkaitan diperlukan oleh syarikat itu dalam fasa pertama yang dijangka beroperasi pada 2024 manakala fasa seterusnya memerlukan khidmat 10,000 tenaga mahir.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan berunding dengan institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk membekalkan tenaga mahir yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.
"Kita perlu (melahirkan) penuntut dengan kemahiran khusus atau mengikuti bidang berkaitan bagi memastikan sumber tenaga mencukupi untuk menyambut pelabur, khususnya di Kedah," katanya.
-- BERNAMA
#Kedah #COVID-19 #pelaburan #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #austria