Kerajaan Negeri Kedah belum lagi menerima sebarang cadangan pembangunan Projek Bandaraya Baharu Langkawi yang bernilai kira-kira RM30 bilion di pulau itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pengumuman yang dibuat pemaju hartanah Tan Sri Ting Pek Khiing seperti yang dilaporkan media disifatkan sebagai menghairankan.

"Ini kerana projek berkenaan tidak dicadang, dibincang, dipertimbang, apatah lagi diluluskan oleh Kerajaan Negeri pimpinan saya," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, projek tersebut pernah dicadangkan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Besar Kedah sebelum ini ketika beliau dalam Barisan Nasional dahulu.

"Tan Sri Ting Pek Khiing telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing.

"Namun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat Kerajaan Negeri bagi projek mega sebesar yang dinyatakan beliau," jelas Mukhriz.

Maka, pada hemat beliau, Kerajaan Kedah tidak lagi mempertimbangkan cadangan asal itu

"Sebarang cadangan pembangunan baharu perlulah dikemukakan secara rasmi untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.

"Setakat ini, Tan Sri Ting Pek Khiing belum mengemukakan kepada Kerajaan Negeri cadangan baharu bagi projek pembangunan mega yang beliau umumkan itu," katanya.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Kedah tidak berhasrat untuk menyulitkan sebarang inisiatif untuk melabur atau membangunkan negeri ini.

"Namun begitu, Kerajaan Negeri berpendirian tegas terhadap pematuhan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

"Apa juga projek yang dicadangkan oleh mana-mana pihak perlu melalui proses saringan untuk mengenalpasti impak sosial, alam sekitar dan ekonomi," kata Mukhriz

Laporan beberapa media ada memetik bahawa Pek Khiing mengumumkan projek merangkumi pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial dan dermaga kapal di kawasan seluas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat Pulau Langkawi akan dilancarkan pada hari ini.