Kedai buku, car boot sale boleh beroperasi - Ismail Sabri

Astro Awani
Februari 18, 2021 11:37 MYT
Ismail Sabri berkata berkata, bagi kawasan PKP, aktiviti yang masih tidak dibenarkan beroperasi antaranya spa, refleksologi, berurut dan perkhidmatan merias kuku. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Operasi kedai buku dan 'car boot sale' merupakan sebahagian dari sektor peruncitan yang telah dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dua jenis perniagaan itu boleh dibuka di negeri yang menguatkuasakan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
"Ramai yang keliru dan bertanya sebab ada dalam kalangan mereka sudah lama tidak buka kedai buku. Ia dibenarkan termasuk 'car boot sale', pasar malam dan pasar tani," katanya pada sidang media PKP, di Putrajaya, pada Khamis.
Beliau berkata, bagi kawasan PKP, aktiviti yang masih tidak dibenarkan beroperasi antaranya spa, refleksologi, berurut dan perkhidmatan merias kuku.
Selain itu, katanya aktiviti pelancongan dan kebudayaan membabitkan pergerakan keluar dan masuk dari kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) ke PKP tidak dibenarkan, begitu juga pelancongan merentas negeri.
"Begitu juga dengan aktiviti seminar, bengkel, kursus, latihan, ceramah, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta majlis sosial juga tidak dibenarkan di kawasan PKP," katanya.
#ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Pertahanan #kedai buku #car boot sale #PKP #PKPB #PKPD