KUALA LUMPUR: Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), perhatian sering tertumpu kepada pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan negara di barisan hadapan.
Namun, di sebalik operasi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, terdapat juga barisan pegawai perundangan yang memikul amanah bagi memastikan ancaman terhadap kedaulatan negara diadili mengikut lunas undang-undang.
Tragedi pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April 2013 yang menggemparkan negara ketika itu menyaksikan sembilan anggota pasukan keselamatan gugur sebagai wira negara dan insiden itu menjadi antara contoh paling jelas bagaimana sistem keadilan berfungsi seiring dengan usaha mempertahankan keselamatan negara.
Pada 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu.
Berkongsi mengenai kes itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang ketika itu adalah Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perbicaraan kes berkenaan berkata, kekuatan sebuah negara yang berdaulat adalah mempertahankan keselamatan negara dengan tegas tetapi pada masa yang sama memastikan tindakan terhadap mereka yang didakwa mengancam keselamatan negara dilaksanakan melalui proses undang-undang yang telus, adil dan berintegriti.
“Ada anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan tanah air dan selepas itu ada pula pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim serta pelbagai pihak lain yang mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memastikan keadilan terus ditegakkan.
“Kes itu adalah satu pengalaman yang amat mencabar kerana ia bukan sekadar melibatkan soal keselamatan negara tetapi turut menguji keteguhan institusi keadilan kita.
“Kami berdepan dengan satu kes yang kompleks, melibatkan ramai tertuduh, jumlah saksi yang besar serta bukti yang perlu diteliti dengan amat cermat,” katanya kepada Bernama.
Mohd Dusuki menegaskan, dalam keadaan sedemikian, tugas pendakwaan adalah untuk memastikan setiap tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang dan bukti, bukan didorong oleh emosi atau tekanan keadaan dan pada masa sama, hak setiap tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil perlu dihormati.
Menurut Mohd Dusuki, kes Lahad Datu juga mengingatkan beliau di sebalik kejayaan sesuatu prosiding undang-undang, terdapat pengorbanan dan komitmen banyak pihak, iaitu daripada anggota keselamatan yang berada di lapangan, pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim serta pegawai kehakiman sehingga kepada semua yang terlibat dalam memastikan keterangan dan bukti dapat dikemukakan di mahkamah.
Ketika ditanya sejauh mana kes itu memberi kesan kepada beliau, Peguam Negara itu berkata, sebagai Timbalan Pendakwa Raya beliau melihat kes itu dari sudut profesional dan tanggungjawab undang-undang dan sesuatu kes yang mempunyai implikasi besar kepada keselamatan negara perlu dikendalikan dengan penuh ketelitian, ketegasan dan integriti manakala sebagai rakyat Malaysia pula, kes Lahad Datu mengukuhkan lagi makna mempertahankan kedaulatan negara.
“Di sebalik fail, keterangan dan prosiding mahkamah itu terdapat sebuah kisah yang menyentuh soal keselamatan dan kedaulatan negara. Apabila mengetahui anggota keselamatan kita berdepan dengan ancaman sebenar di lapangan, perasaan sebagai seorang rakyat sudah tentu turut tersentuh,” katanya.
Mohd Dusuki mengakui, dalam satu perbicaraan yang besar seperti kes Lahad Datu, ada detik-detik tertentu yang bukan sahaja menguji ketahanan beliau sebagai pegawai undang-undang tetapi turut menyentuh hati sebagai rakyat Malaysia.
Beliau berkata, antara perkara yang paling sukar ialah apabila mendengar keterangan berkaitan apa yang berlaku di lapangan, khususnya apabila ia menggambarkan keberanian dan pengorbanan anggota keselamatan yang berada dalam keadaan amat berbahaya.
“Pada ketika itu, kami sedar perkara yang sedang kami teliti di dalam mahkamah bukan sekadar dokumen atau keterangan saksi tetapi melibatkan nyawa manusia dan keselamatan negara.
“Namun begitu, sebagai pendakwa raya, kami perlu belajar untuk memisahkan perasaan peribadi daripada tanggungjawab profesional. Walaupun sesuatu keterangan itu amat menyentuh hati, tugas kami adalah untuk menilai fakta dan bukti secara objektif serta memastikan kes dikemukakan berdasarkan undang-undang.
“Saya juga tidak lupa di sebalik sesuatu pertuduhan, terdapat keluarga yang terkesan dan kehidupan manusia yang berubah selama-lamanya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, pihak pendakwaan perlu lebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab kerana keadilan bukan tentang memastikan satu pihak menang atau satu pihak kalah tetapi tentang memastikan proses undang-undang dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Mohd Dusuki berkata, kes Lahad Datu mendapat perhatian di dalam dan luar negara, oleh itu pasukan pendakwaan sentiasa berpegang kepada prinsip setiap tertuduh mempunyai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Pada masa yang sama, beliau berkata, menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk mengemukakan kes berdasarkan bukti yang ada dan memastikan setiap pertuduhan dibuktikan mengikut kehendak undang-undang.
Selepas lebih sedekad berlalu, Mohd Dusuki berharap agar tragedi seperti Lahad Datu tidak akan berulang lagi dan semoga pengorbanan mereka yang telah mempertahankan tanah air menjadi iktibar kepada kita semua.
“Semoga generasi akan datang dapat mewarisi sebuah Malaysia yang aman, berdaulat dan terus berdiri teguh sebagai sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
"Sempena Hari Kebangsaan ini, hargailah keamanan yang kita ada, kenanglah pengorbanan mereka yang terdahulu dan lakukanlah bahagian kita untuk memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman, bersatu dan berdaulat,” tegasnya.
-- BERNAMA