Kedudukan Ahli Parlimen Cameron Highlands diketahui Isnin depan - Speaker Dewan Rakyat

Diyana Ibrahim
Disember 6, 2018 07:28 MYT
KEDUDUKAN Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh akan diketahui pada Isnin depan. - Gambar fail
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff memberitahu, beliau akan membuat ketetapan mengenai kedudukan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh pada Isnin depan.
Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi membolehkannya meneliti semua perkara termasuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.
“Saya akan buat ketetapan Isnin ini. Saya perlukan keputusan mahkamah. Dan saya diberitahu keputusan mahkamah akan diberi hari ini,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini, berlaku perbalahan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang mengenai keputusan speaker mengarahkan wakil rakyat Cameron Highland keluar dari persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu lalu susulan keputusan mahkamah.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.
Keputusan Mahkamah Pilihan Raya telah mengarahkan pilihan raya diadakan semula.
#Cameron Highlands #Dewan Rakyat #pilihan raya #Sivarraajh