MALAYSIA
Kedudukan baik dalam WCR 2025 bukti reformasi Anwar diiktiraf dunia - Pakar
Azmi turut menyuarakan kebimbangan kerana usaha murni kerajaan melakukan reformasi kurang dihargai di dalam negara akibat perbezaan ideologi politik dan keengganan sesetengah pihak untuk melihat kemajuan secara objektif. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Lonjakan 11 anak tangga Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 membuktikan keberkesanan reformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa, menurut pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, meskipun ada pihak yang masih mempersoalkan pelaksanaan reformasi berkenaan, penilaian badan antarabangsa jelas menunjukkan transformasi negara sedang menuju ke arah positif, terutamanya dalam memerangi rasuah dan memperkukuh dasar ekonomi.
"Asas utama reformasi kerajaan adalah untuk meminimumkan perlakuan rasuah kerana seperti yang sering ditegaskan Perdana Menteri, jika rasuah tidak dibendung, negara yang akan rugi.
"Usaha pembanterasan rasuah ini bukan hanya tertumpu kepada kes-kes berprofil tinggi seperti 1MDB, malah turut merangkumi pelbagai bentuk rasuah dalam sektor awam dan swasta. Ia merupakan antara elemen penting reformasi yang sedang diperhatikan oleh pihak luar," kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu kepada Bernama.
Rekod terbaharu menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-23 dalam laporan WCR, melonjak dari kedudukan ke-34 pada tahun sebelumnya dan ia merupakan pencapaian terbaik sejak 2020.
Namun, Azmi menyuarakan kebimbangan kerana usaha murni kerajaan melakukan reformasi kurang dihargai di dalam negara akibat perbezaan ideologi politik dan keengganan sesetengah pihak untuk melihat kemajuan secara objektif.
"Pihak tertentu sengaja tidak nampak kerana mereka meragui kerajaan, tetapi saya fikir di sinilah tugas agensi seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk tampil dengan data dan statistik mengenai kejayaan reformasi kerajaan," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kredibiliti dan kepakaran diplomasi Perdana Menteri dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan imej Malaysia di persada global.
"Beliau (Anwar) merupakan pemimpin yang dihormati dan artikulatif, terutama dalam kalangan negara ASEAN dan Indo-Pasifik. Keupayaannya menyampaikan hujah dan pandangan mengenai isu global tiada tolok bandingnya dan perkara ini harus dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Pensyarah dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi menyifatkan peningkatan dalam ranking berkenaan sebagai cerminan penambahbaikan dalam tadbir urus serta kerangka institusi negara termasuk rasionalisasi birokrasi dan kecekapan pentadbiran.
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM itu berkata, inisiatif seperti Strategi Antirasuah Nasional 2024-2028 telah memberikan impak signifikan dalam membentuk persepsi antarabangsa, namun kedudukan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti daripada terus membanteras rasuah.
"Peningkatan kedudukan itu tidak bermaksud keadaan di Malaysia sudah bagus dalam antirasuah.
"Dalam aspek kecekapan sistem penyampaian kerajaan pula, terdapat tanda-tanda perubahan nyata, tetapi masih ada cabaran dari segi skala dan keseragaman impak di semua lapisan pentadbiran," katanya.
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan mereka untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
-- BERNAMA