Kedudukan bekalan air di Kuching kini kembali seperti sediakala berikutan hujan di kawasan tadahan, kata Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata inisiatif Lembaga Air Kuching (LAK) untuk meningkatkan paras kolam takungan sebanyak 0.5m pada April membolehkan paras takungan air mentah mencapai 300 mega liter dan sekali gus mengelak berlaku kekurangan air di Kuching.

"Jika ini tidak dilakukan, kita mungkin telah mengalami sedikit masalah beberapa minggu lepas, tapi saya amat berterima kasih kepada LAK kerana berbuat demikian.

"Bagaimanapun, memandangkan musim kering dan panas belum berakhir, pengguna diminta terus berjimat dan menggunakan air secara berhemah," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat di Loji Rawatan Air LAK Batu Kitang dekat sini hari ini.

Beliau berkata LAK juga mengkaji kemungkinan mengadakan takungan tebing sungai untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan air mentah.

"Ini untuk mengelak berulangnya kekurangan air berpanjangan," katanya sambil memuji LAK kerana menyusun pelan luar jangkaan," katanya.

Beliau berkata Loji Rawatan Air Batu Kitang No. 3, yang sedang dinaik taraf dan dipulihkan daripada 200 MLD kepada 400 MLD, berpotensi memenuhi permintaan terhadap bekalan air di Bandaraya Kuching dan Greater Kuching (kawasan luar bandar Kuching dan Bahagian Samarahan).

Katanya ketika ini, LAK mempunyai kemampuan menyimpan air sebanyak 500 MLD, manakala loji baharu yang dijadual siap menjelang Jun 2017 pula, akan mampu menyimpan air sebanyak 780 MLD.

Awang Tengah berkata jumlah permintaan terhadap air terawat di Kuching ialah kira-kira 450 MLD sehari, melibatkan 147,000 penyambungan.

Mengenai sungutan ketiadaan bekalan air di kawasan kendalian Jabatan Kerja Raya, beliau berkata jabatan itu sedang menaik taraf loji rawatan airnya secara berperingkat.